KUANTAN, 24 Ogos – Keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman bersalah terhadap Datuk Seri Najib Razak membantu meningkatkan imej Malaysia di persada antarabangsa berhubung ketelusan sistem kehakiman di negara ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata ini kerana reaksi negara luar menganggap keputusan itu adalah proses kehakiman yang baik, adil dan bebas yang tidak dipengaruhi politik.

Katanya, sebelum ini negara berdepan tohmahan berkaitan sistem kehakiman yang dikatakan dipengaruhi politik dan sebagainya.

“Namun, keputusan Mahkamah Persekutuan semalam, saya mendapat reaksi cukup positif daripada teman (Menteri Luar) dan media antarabangsa.

“Ini bermakna memang berlaku pembaharuan dan reformasi dalam sistem kehakiman negara.

“Ini penting kerana sebagai contoh, pelabur asing hendak tahu sejauh mana sistem kehakiman kita adil dan bebas.

“Mereka (pelabur) datang ke negara ini dan jika berlaku sebarang hal, mereka boleh percaya dengan sistem kehakiman kita,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Ladang Jeram, di sini, hari ini.

Mahkamah Persekutuan kelmarin mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, keputusan itu juga secara tidak langsung membantu dari segi pandangan dunia yang lebih baik kepada Malaysia.

“Kita berharap pelaburan yang akan datang ke Malaysia selepas ini akan bertambah susulan keyakinan mereka terhadap sistem kehakiman kita yang telus dan adil,” katanya.