KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Armada BERSATU mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat di dalam kes SRC International termasuklah para hakim, peguam, saksi, petugas mahkamah dan anggota keselamatan yang telah terlibat sepanjang 4 tahun kes ini dibicarakan di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan akhirnya Mahkamah Persekutuan.

Ketua Armada BERSATU Malaysia, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata ini kerana kebenaran atas dasar prinsip yang diperjuangkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu akhirnya diperakui oleh mahkamah tertinggi negara pada hari ini.

“Sabitan kesalahan ke atas Dato’ Sri Najib Razak dalam kes berkaitan SRC International menandakan berakhirnya satu episod gelap dalam sejarah tanah air. Ia juga satu permulaan bagi membina kembali keyakinan rakyat Malaysia dan juga masyarakat antarabangsa terhadap sistem kewangan, perundangan dan politik negara.

“Pada masa yang sama, kes-kes lain berkenaan 1MDB yang turut melibatkan Dato’ Sri Najib Razak sebagai tertuduh juga perlu diselesaikan dengan penuh berhemah seperti yang ditunjukkan oleh panel Mahkamah Persekutuan hari ini agar keadilan dapat terus ditegakkan.

“Begitu juga halnya dengan kes-kes rasuah dan salah guna kuasa lain yang turut melibatkan para mantan pembesar negara kerana ia melibatkan kepentingan awam dan wang rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib Razak yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Beliau berkata sabitan itu selamat bagi semua tujuh pertuduhan dan hukuman itu tidak keterlaluan.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata Armada BERSATU menjunjung sepenuhnya kedaulatan undang-undang yang termaktub dalam Rukun Negara, dan akan terus mempertahankan integriti institusi kehakiman negara seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.