KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Berbagai alasan dikemukakan UMNO untuk mempertikai keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd oleh Datuk Seri Najib Razak.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais berkata yang jelas dan ketara, apapun keputusan yang dibuat oleh hakim-hakim yang bertauliah ini, tidak akan diakui atau diterima oleh segelintir pimpinan UMNO, sekiranya keputusan tidak memihak kepada mereka.

“UMNO harus sedar undang-undang yang telah termaktub dan tertulis tidak mengenal apa itu kesilapan, bagi undang-undang-apa sahaja yang tertulis dan termaktub wajib diikuti, kerana jika tidak maka kehadiran hakim sebagai pentafsir undang-undang serta membuat keputusan berasaskan undang-undang tidak perlu ada.

“Rakyat hari ini sudah muak dan jelak dengan karenah ini, kerana itulah apabila ada parti alternatif seperti Perikatan Nasional (PN) yang dianggap boleh melawan kerajaan korup seperti Barisan Nasional (BN), tanpa silu segan mereka turun memberi sokongan.

“Pimpinan alternatif PN yang ditunjangi Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidaklah sekuat sangat, tidak sehebat sangat namun dek korupsi dan salah guna kuasa pemimpin peneraju terdahulu, sudah tentu rakyat akan memberi sokongan demi memberi pengajaran kepada pimpinan UMNO dan BN yang telah hilang pedoman dan arah.

“Kata orang, perangkap tidak pernah lupa akan mangsanya. Perangkap akan senantiasa setia ditempatnya menunggu sang mangsa tersesat jalan,lalu masuk mulut perangkap. Si mudah lupa tadi baru terngadah, tetapi telah terlambat, sang perangkap tiada sistem belas kesihan, sang perangkap tiada sistem budi bicara, sang perangkap tiada sistem pengampunan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahathir mengulas mengenai kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mempertikai proses dan ruang untuk Najib mempertahankan dirinya terutama usaha untuk mengemukakan bukti-bukti baharu dan penangguhan bagi membolehkan pasukan pembelanya yang baharu membuat persiapan telah dinafikan.