KUCHING, 24 Ogos – Sesi libat urus dengan kerajaan Sarawak akan terus diadakan bagi membincangkan dan memperhalusi program dan projek merentasi semua subsektor agromakanan termasuk pembangunan industri perikanan Sarawak dalam usaha memajukan sektor agromakanan Sarawak.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata sesi libat urus itu melalui Joint Development Committe antara MAFI dan Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED), sekaligus memperkukuh jaminan bekalan makanan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Pembangunan industri perikanan di Sarawak berpotensi tinggi untuk terus dikembangkan dengan adanya seramai 10,828 orang nelayan dan 5,103 buah vesel yang telah menghasilkan sejumlah 125,000 tan metrik ikan setahun dengan nilai melebihi RM716 juta.

“Semoga penambahan vesel laut dalam serta pengurusan sumber perikanan secara mampan di seluruh perairan Sarawak akan dapat terus menjamin hasil tangkapan ikan selain membangunkan pelbagai perkhidmatan lain di sepanjang rantaian nilai termasuk industri hiliran yang dapat meningkatkan hasil ekonomi nelayan tempatan,” katanya.

Terdahulu, Ronald hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Penurunan Kuasa Pelesenan Perikanan Laut Dalam Sarawak yang disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang mewakili YAB Premier Sarawak, pada Selasa.

Turut hadir bersama, Menteri MANRED Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Anak Utom; dan Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Wan Muhammad Aznan Abdullah.

Pada Oktober 2021 yang lalu, Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) telah bersetuju dengan pelaksanaan empowerment atau penurunan kuasa kepada Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) dan Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED) untuk melaksanakan urusan pengeluaran permit dan lesen laut dalam bagi vesel penangkapan ikan Zon C2 tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan di Sarawak.