REMBAU, 24 Ogos – BERSATU Negeri Sembilan menzahirkan ucapan tahniah buat Badan Kehakiman Negara yang mempertahankan prinsip keadilan dengan menolak rayuan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kes penyelewengan dana SRC.

Ketua Penerangan BERSATU Negeri Sembilan Iskandar Dzulkarnain Abdul Rahim berkata keputusan tersebut telah mengembalikan martabat Malaysia sebagai negara berintegriti yang menolak salah guna kuasa dan rasuah.

“Ketegasan panel hakim rayuan yang tidak tunduk kepada desakan politik telah mencetuskan keyakinan baharu kepada rakyat Malaysia bahawa kes-kes berprofil tinggi akan diadili dengan tegas.

“Kes-kes berprofil tinggi seterusnya harus segera diselesaikan agar rakyat tidak lagi memandang rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram sebagai satu norma.

“Rakyat yang selama ini tertipu dengan pelbagai strategi perang saraf dan media sosial yang mempertahankan perbuatan jenayah dan pengkhianatan terhadap negara, seharusnya sedar perbuatan itu hanya bertujuan menjaga kepentingan ‘kluster mahkamah’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib Razak yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Beliau berkata sabitan itu selamat bagi semua tujuh pertuduhan dan hukuman itu tidak keterlaluan.

Dalam pada itu, Dzulkarnain mengucapkan terima kasih kepada Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin yang terus menerus menentang secara konsisten golongan kleptokrat.

“”Terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden BERSATU yang terus menerus menentang secara konsisten golongan kleptokrat.

“Perjuangan beliau terbukti benar, dan kami akan terus menyokong dan mendokong beliau sehingga tercapainya matlamat menjadikan beliau Perdana Menteri Malaysia semula agar prinsip anti-rasuah dan anti-kleptokrat dijadikan batu asas pentadbiran negara,” katanya.