KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man tidak dapat membayangkan ‘serangan’ daripada UMNO terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ke atas Datuk Seri Najib Razak, semalam.

Beliau tidak menolak kemungkinan pelbagai tuduhan dilemparkan kepada Presiden BERSATU itu sekiranya Ahli Parlimen Pagoh itu masih memegang jawatan perdana menteri hari ini.

“Sekarang baru nampak hikmah bila Muhyiddin dijatuhkan oleh sebahagian ahli Parlimen UMNO yang menarik sokongan kepadanya sebagai perdana menteri.

“Bayangkan bagaimana serangan kepada beliau (Muhyiddin) oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) seandainya beliau masih menjadi PM?” soal beliau menerusi Facebooknya hari ini.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib dalam kes SRC International Sdn. Bhd.

Namun, menurut Tuan Ibrahim, hakikat yang jelas, kerajaan tidak akan campur tangan dalam sistem kehakiman negara walau siapa menjadi perdana menteri.

“Tetapi yang sukar ialah menentang persepsi yang sengaja dibina oleh musuh. Yakinlah setiap apa yang ditentu oleh Allah ada hikmah tersendiri,” katanya.