KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Para guru tidak seharusnya menjadikan peperiksaan akhir tahun sebagai peperiksaan berkepentingan tinggi sehingga memberi bebanan kepada pelajar.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin berkata, ujian sekolah hanya perlu dilakukan untuk menentukan penguasaan pelajar terhadap subjek yang dipelajari di sekolah.

Jelasnya, pelaksanaan ujian akhir itu tidak akan menggantikan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) atau Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang telah dimansuhkan sebelum ini.

“Tolong jangan jadikan peperiksaan akhir tahun atau ujian akhir penggal akademik kepada peperiksaan berkepentingan tinggi. Jika tidak, kita kembali ke bulatan lama yang sama (pelajar yang bersedia untuk peperiksaan awam utama).

“Peperiksaan akhir tahun atau peperiksaan terakhir penggal akademik tidak menggantikan UPSR atau PT3. Kedua-dua peperiksaan itu telah dimansuhkan, tidak perlu menggantikannya kepada ujian lain,” katanya ketika berkongsi pandangan pada majlis Bicara Eksekutif Transformasi Pendidikan di Hotel Berjaya Times Square di sini pada Rabu.

Bercakap kepada pihak berkepentingan pendidikan, serta rakan strategik Kementerian Pendidikan (KPM), Radzi berkata peperiksaan tahun akhir di sekolah harus dianggap sebagai peperiksaan biasa dan setiap pelajar perlu selesa menjalaninya selain membuktikan kemampuan diri terhadap subjek yang dipelajari.

Selain itu, beliau berharap agar pemansuhan PT3 dan UPSR akan membolehkan pelajar meneroka subjek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) secara lebih meluas.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ibu bapa agar tidak menyalahkan pihak sekolah mahupun KPM kerana tidak menjalankan peperiksaan utama seperti sebelum ini kerana segala rancangan yang sudah diatur adalah bertujuan mengukuhkan sistem pendidikan negara.