SHAH ALAM, 25 Ogos – Perikatan Nasional (PN) Selangor membuat ketetapan melantik Ketua Badan Perhubungan Kawasan di semua 22 Parlimen di negeri itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat PN Selangor, pada malam Rabu.

Menurut beliau, semua anggota parti yang hadir pada mesyuarat itu juga bersetuju untuk segera menggabungkan jentera di semua peringkat termasuk Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pusat daerah mengundi (PDM) untuk membentuk jentera Perikatan Nasional.

“Insya-ALLAH, gabungan lebih utuh dan mantap demi rakyat negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Rabu.

Mohamed Azmin berkata, mesyuarat itu membabitkan kehadiran pimpinan tertinggi BERSATU, PAS dan Gerakan negeri Selangor.

Antara pimpinan yang hadir, Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Selangor Datuk Abdul Rashid Asari dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.