KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Pemimpin wanita digesa meneruskan usaha memperjuangkan lebih ramai perwakilan di peringkat kementerian.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, bertitah wanita banyak memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.

“Berdasarkan data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), wanita mewakili 50 peratus daripada keseluruhan pengundi di dunia dan hanya mewakili peratusan kecil di peringkat kementerian.

“Sehubungan itu, perlunya anda tuntut (lebih pembabitan wanita) kerana tanpa undi wanita….. itu sahaja saya tak perlu sambung,” titahnya sempena Sambutan Hari Wanita ke-60 anjuran Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), di sini.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Pada masa sama, Tunku Azizah bertitah, wanita juga perlu memainkan peranan utama sebagai watak pendamai kepada negara untuk membawa keamanan dalam keadaan situasi memerlukan.

“Daripada rumah kepada negara, kalau kacau bilau, wanita perlu memainkan peranan di mana-mana sahaja.

“Kita kena jadi pendamai sama ada di rumah dan di dalam negara,” titahnya.

Baginda bertitah, selain memperkasakan wanita, negara juga perlu mendengar suara golongan itu yang memperjuangkan hak mereka.

Titahnya, baginda sendiri akan menyokong mana-mana gerakan yang memperjuangkan hak wanita sama ada di dalam negara atau peringkat antarabangsa.

“Ini semua mengenai pemerkasaan wanita dan kesaksamaan gender… penting untuk mendengar suara wanita memperjuangkan hak mereka,” titahnya.

Tunku Azizah bertitah, wanita yang juga adalah seorang ibu perlu memainkan peranan untuk mendidik sebagai pemimpin muda.

Dalam ucapan itu, baginda turut mengimbau kembali peranannya yang banyak membabitkan diri dalam persatuan berkaitan wanita antaranya melalui Persatuan Pandu Puteri Malaysia selain pertubuhan di luar negara sebelum ini.