LARUT, 26 Ogos – Kementerian Dalam Negeri akan memberi penjelasan semula berhubung isu lebih 1.2 juta rakyat China dikesan tidak keluar dari Malaysia selepas tiba ke negara ini dalam tempoh di antara 2018 hingga 2021.

“Jumlah itu tidak betul. Kita akan betulkan untuk memperbaiki persepsi yang salah,” kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Setiausaha Agung BERSATU Malaysia merangkap Ahli Parlimen Larut itu berkata demikian selepas merasmikan persidangan serentak cawangan BERSATU Bahagian Larut, pada Jumaat.

Dilapor berdasarkan rekod keluar masuk Jabatan Imigresen Malaysia, ketibaan warga China ke negara ini bagi tempoh berkenaan ialah seramai 7,177,043 orang.

Bagaimanapun, warga China yang keluar dari Malaysia bagi tempoh sama hanya seramai 5,954,765 individu iaitu kurang 1,222,278 berbanding jumlah yang masuk ke negara ini.

Terdahulu, Hamzah menerima 204 borang keahlian baharu dari Cawangan Sungai Limau dan Paya Besar di sini.