KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Perikatan Nasional (PN) akan menggariskan landasan utama parti dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15), dalam konvensyen gabungan itu, esok.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu akan menjadi antara perkara yang dibincangkan dalam Konvensyen PN 2022 yang akan dihadiri oleh presiden parti komponen serta pimpinan PN.

Katanya, Konvensyen PN 2022 itu juga akan membincangkan isu semasa berkaitan masalah rakyat pasca pandemik COVID-19 dan akan turut menetapkan dasar serta hala tuju parti bagi meningkatkan keyakinan rakyat bahawa PN adalah parti yang mempunyai tawaran yang harmoni, relevan serta segar, sejajar dengan aspirasi rakyat.

“Pada konvensyen itu juga, Anugerah Prihatin Perikatan Nasional akan disampaikan kepada individu dan organisasi yang sudah menunjukkan keprihatinan, pengorbanan serta sumbangan luar biasa kepada negara dan masyarakat.

“PN percaya bahawa Konvensyen PN 2022 mampu menjadi wadah untuk memperbaharui tekad perjuangan khidmat bakti parti kepada rakyat serta memperkukuhkan kerjasama parti-parti anggota PN secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, Konvensyen PN dan Majlis Sambutan Ulang Tahun kedua PN di Dewan D2, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang itu akan dirasmikan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Semua presiden parti komponen serta pimpinan dan sejumlah 1,800 perwakilan termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri dari seluruh negara dijangka hadir,” katanya.