KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Satu rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kebangsaan bagi sektor pembuatan sedang digubal dan selaras dengan usaha status pelepasan sifar bersih gas rumah hijau Malaysia menjelang 2050.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, rangka kerja terbabit akan berdasarkan konsultasi dan libat urus dengan pemegang taruh tempatan dan antarabangsa yang terlibat dalam sektor pembuatan, kawal selia dan kewangan.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan menyediakan satu kerangka kerja untuk mengarusperdanakan elemen ESG dalam pembangunan sektor pembuatan yang merangkumi empat perkara utama iaitu standard ESG, sokongan kewangan dan insentif, pembinaan keupayaan serta mekanisme pasaran seperti kredit karbon dan harga karbon,” katanya dalam kenyataan hari ini selepas Sesi Dialog MITI 2022 yang diadakan semalam.

Menurut Mohamed Azmin, kemajuan kerangka kerja tersebut adalah bergantung kepada peringkat pencapaian dalam libat urus dan kolaborasi bersama pemegang taruh.

Sehubungan itu, katanya, seiring dengan matlamat Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), MITI akan turut memperhebatkan fokus kepada sektor seperti ekonomi digital, elektronik dan elektrikal (E&E), farmaseutikal, kimia dan aeroangkasa yang mempunyai potensi ekonomi signifikan serta manfaat jangka panjang yang mampan.

Menyentuh sesi dialog terbabit, beliau berkata inisiatif tahunan MITI itu melibatkan pendekatan perundingan terhadap pihak berkepentingan dalam membantu merangka dan mengkaji semula dasar-dasar untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara melalui peningkatan perdagangan antarabangsa, pembangunan industri yang mampan dan pelaburan berkualiti.

Dialog itu melibatkan perbincangan bersama wakil-wakil perniagaan, persatuan industri Malaysia serta dewan perniagaan kebangsaan dan antarabangsa berkenaan strategi serta mencari penyelesaian yang terbaik dalam membangun ekosistem perdagangan dan pelaburan negara

Beliau turut menyifatkan sesi terbabit sebagai berhasil dengan perbincangan amat produktif yang disertai oleh lebih 12 kementerian dan 151 pertubuhan dan MITI telah menerima sebanyak 96 memorandum yang merangkumi 24 kategori daripada sejumlah 396 isu yang dikemukakan bersama usul bagi pertimbangan kerajaan.

“Beberapa cadangan yang diketengahkan dalam Dialog MITI akan dipanjangkan untuk pertimbangan Kementerian Kewangan dalam penggubalan Bajet 2023,” katanya.

Menyentuh cabaran daripada perkembangan geopolitik dan geoekonomi ketika ini, beliau berkata walaupun inflasi global di luar kawalan, kerajaan bertekad memastikan kemajuan produktiviti dan daya saing.

“Menerusi komitmen dan keyakinan, faktor-faktor ini merupakan tunjang ke arah kejayaan,” katanya.

Bagi isu pekerja asing, beliau menegaskan bahawa industri Malaysia perlu mencari penyelesaian jangka panjang ke arah menangani masalah kebergantungan terhadap tenaga kerja berkemahiran rendah.

Beliau juga menggesa sektor pembuatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk terus melabur dan menggunakan teknologi pembuatan termaju bagi meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos menjalankan perniagaan.

Mohamed Azmin turut memberi jaminan bahawa MITI kekal komited untuk bekerjasama dalam menangani cabaran ke arah pemulihan ekonomi Malaysia dan meraih kedudukan lebih kukuh sebagai negara perdagangan global.