SERDANG, 27 Ogos – Sebanyak 15 resolusi Konvensyen Perikatan Nasional (PN) dibentang hari ini.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata 21 orang pembahas dari parti-parti komponen Perikatan Nasional, Badan Perhubungan Negeri, Jawatankuasa Wanita Pusat dan Jawatankuasa Pemuda Negeri telah menyampaikan pandangan masing-masing.

15 rumusan yang ditetapkan PN hari ini adalah pertama menjadikan prinsip prihatin rakyat, berintegriti dan Bebas rasuah sebagai landasan utama perjuangan PN.

Katanya, kedua memperkukuh kesatuan antara parti-parti anggota PN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) untuk menjadikan PN sebagai parti pilihan rakyat.

“Ketiga menghormati Perlembagaan Persekutuan sebagai bimbingan Kerajaan dalam menjunjung kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu, kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang.

“Keempat memperkukuh hubungan persaudaraan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dengan terus menghormati Perjanjian Malaysia 1963 serta menyeimbangkan pembangunan negara secara holistik dan menyeluruh dengan mengoptimumkan potensi ekonomi dan sosial setiap negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Tambahnya, rumusan kelima adalah memperkukuh hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri berlandaskan prinsip Federalisme yang berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, keenam membangunkan ekonomi berimpak tinggi untuk meningkatkan pendapatan rakyat dan seterusnya menjadikan Malaysia sebagai negara maju, makmur dan sejahtera.

“Ketujuh, memperkasa masyarakat majmuk dengan berlaku adil dan prihatin kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan golongan termasuk Melayu, Cina, India, Sikh, Kadazan, Dusun, Iban, Murut, orang asal, warga emas, wanita, belia, kanak-kanak dan warga OKU.

“Kelapan, memelihara khazanah negara dan melindungi alam sekitar termasuk hutan, sumber mineral dan sungai daripada ancaman kerakusan bagi mengelakkan ketirisan hasil dan kejadian bencana,” katanya.

Hamzah berkata kesembilan meningkatkan kecekapan tadbir urus kewangan dan penyampaian perkhidmatan institusi-institusi kerajaan tanpa campur tangan politik atau salah guna kuasa.

Beliau berkata kesepuluh menubuhkan agensi sehenti tunggal (single one stop agency) jaringan sosial rakyat bagi menyelaras pemberian bantuan kebajikan, penyediaan peluang kerjaya, peningkatan kemahiran, pembasmian kemiskinan yang menyeluruh serta pengukuhan kegiatan ekonomi sara diri, termasuk golongan anak muda dan wanita.

“Kesebelas, meningkatkan ketersambungan infrastruktur dan infostruktur digital ke seluruh pelusuk negara bagi memperkasa masyarakat bermaklumat dan berpengetahuan.

“Kedua belas memajukan sektor pendidikan dengan digitalisasi, mengurangkan jurang pencapaian pendidikan bandar dan luar bandar, mempercepat penyediaan dan pembaikan infrastruktur serta memperkukuhkan ekosistem pendidikan, termasuk kurikulum bagi memperkasa kemenjadian murid.

Tambahnya, ketiga belas memperkasa peluang melanjutkan pelajaran dan TVET serta menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi bagi anak muda dan wanita serta menampilkan calon-calon boleh menang dalam kalangan wanita dan anak muda dengan kuota sekitar 30% untuk PRU-15.

Beliau berkata keempat belas memastikan calon PN bersih, berintegriti dan bebas rasuah dengan mewajibkan mereka melepasi tapisan SPRM, PDRM dan LHDN serta mengisytihar harta dan tiada kes mahkamah seterusnya membuat aku janji untuk menolak jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

“Ke-15 mempersiap siaga seluruh jentera parti di setiap kawasan Parlimen dan DUN di seluruh negara untuk meraih kemenangan dalam PRU-15 serta mematuhi segala keputusan yang dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi PN berhubung PRU-15,” katanya.

Hamzah berkata kepada rakyat Malaysia, PN menyeru kepada semua pihak untuk menilai 15 Resolusi Konvensyen Perikatan Nasional 2022 ini sebagai tawaran terbaik lagi jujur dan ikhlas demi kepentingan rakyat pada PRU15.

Katanya, kepada akar umbi dan pimpinan PN di seluruh negara, rapatkan saf, bulatkan tekad, bersedialah untuk berjuang berhabis habisan bagi memenangi hati rakyat.