SEPANG, 27 Ogos – Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM yang dilancarkan sejak 1 September tahun lalu sudah berjaya dimanfaatkan oleh seramai 46,426 usahawan wanita di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, berkata jumlah itu amat memberangsangkan, terutama selepas peralihan negara daripada fasa pandemik ke endemik COVID-19.

Beliau berkata, program berkenaan terbuka kepada semua anggota masyarakat, termasuk wanita yang mencari pekerjaan serta menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

“Inisiatif Wanita Bangkit@KPWKM lahir daripada situasi pandemik COVID-19 yang memberi kesan kepada kehidupan masyarakat, termasuk golongan wanita dalam pelbagai aspek terutamanya kewangan.

“Ia satu platform KPWKM untuk membantu wanita mendapat kerja dan mencebur diri dalam bidang keusahawan.

“Sejak September 2021 wanita bangkit sudah dimanfaatkan hampir 47,000 usahawan wanita seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Wanita Bangkit @KPWKM, di sini hari ini.

Inisiatif Wanita Bangkit@KPWKM bertujuan membantu wanita dalam menghadapi cabaran pasca pandemik, ia terbahagi kepada dua kaedah iaitu menerusi sektor formal dan tidak formal.

Sementara itu, Rina berkata, program hari ini menawarkan lebih 15,000 peluang pekerjaan daripada pelbagai sektor membabitkan kira-kira 30 majikan sektor makanan, kecantikan dan pembuatan serta perkilangan.

Katanya, sepanjang sehari program berkenaan, ia memberi tumpuan kepada aktiviti penjanaan pendapatan dengan menghubungkan wanita kepada platform yang menawarkan peluang pekerjaan, perniagaan atau keusahawan.

“KPWKM ingin membuka seluas-luasnya peluang kerjaya kepada semua lapisan masyarakat khususnya golongan wanita. Melalui karnival ini juga ada sesi perkongsian petua dan nasihat daripada usahawan berjaya,” katanya.

Rina berkata, KPWKM menyasarkan 59 peratus penyertaan wanita dalam pasaran kerja menjelang 2025.