SERDANG, 27 Ogos – Pemuda Perikatan Nasional (PN) menuntut kepemimpinan gabungan itu untuk memperuntukkan sekurang-kurangnya 30 peratus golongan muda untuk diangkat sebagai calon PN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Timbalan Pengerusi Pemuda PN, Senator Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkata perkara itu penting bagi memberi keyakinan kepada golongan muda, khususnya hampir enam juta pengundi baharu, bahawa PN memiliki penyelesaian untuk segala masalah mereka.

Beliau berkata, Pemuda PN yakin tindakan gabungan itu mengangkat calon anak muda akan memberi gambaran kepada pengundi muda bahawa parti itu mampu membawa aspirasi mereka apabila menjadi kerajaan.

“Saya ingin merayu pada semua pimpinan PN untuk meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon anak muda pada PRU-15, yang boleh membawa suara dan aspirasi anak muda dalam kerajaan.

“Ketika ini, ada 5.8 juta pengundi baharu yang layak mengundi secara automatik, dengan 20 peratus daripadanya berusia 18 tahun hingga 20 tahun, manakala sekitar separuh rakyat Malaysia berusia bawah 30 tahun.

“Ertinya, anak muda adalah ‘king maker’ pada PRU-15. Jika tidak mampu memahami aspirasi, masalah dan cabaran mereka, mana-mana parti pun akan berdepan kesukaran yang cukup besar,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PN 2022, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal, yang juga Ketua Armada BERSATU, memaklumkan hasil kajian pihaknya mendapati, anak muda antara lain mahu mana-mana pihak yang memerintah untuk memastikan peluang pekerjaan bermaruah kepada mereka.

Ketika ini, katanya, ramai anak muda terpaksa memilih pekerjaan sambilan apabila terjun ke dalam sektor ekonomi gig, meskipun mereka memiliki kelulusan pendidikan yang tinggi.

“Anak muda juga berdepan masalah dalam bidang pendidikan. Jabatan Statistik, baru-baru ini memaklumkan, 72 peratus anak muda yang habis sekolah tidak mahu melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).

“Ramai anak muda ketika ini melihat IPT sebagai beban dengan hutang dan sebagainya, selain isu pekerjaan yang tidak setaraf dengan apa yang mereka belajar.

“Ini cabaran yang kita perlu terangkan kepada golongan anak muda supaya mereka memahami bahawa PN ada penyelesaian untuk mereka,” katanya.