SERDANG, 27 Ogos – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memastikan anak muda yang tidak dalam pendidikan, pekerjaan atau tidak mempunyai latihan akan mendapat pembelaan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata apa yang paling penting adalah untuk memastikan mereka menunaikan tanggungjawab baharu sebagai pengundi pada pilihan raya akan datang.

“Kita mengajak semua anak muda yang akan membina masa depan negara, gunakan tanggungjawab yang ada pada hari ini untuk kita pulihkan negara kita.

“Anak muda, pengundi muda juga membenci rasuah, benci penyelewengan, benci salah guna kuasa,” katanya di Konvensyen Perikatan Nasional 2022 di sini hari ini.

Faizal, yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata ini masanya PN bersama anak muda akan terus memartabatkan agama, bangsa kita di kedudukan paling tinggi yang menjadi contoh kepada negara-negara lain.

“Kami bersama anda wahai anak muda, harapan bangsa. I am with you in this struggle,” katanya.

Faizal berkata BERSATU berpendirian, menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan tertinggi PN dalam apa juga ketetapan dalam menghadapi pilihan raya.

“Pertama, melibatkan keputusan berkenaan pembahagian kerusi, kedua, segala keputusan berkaitan penentuan calon.

“BERSATU komited untuk memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Muhyiddin bersama dengan Majlis Tertinggi PN untuk membuat apa juga keputusan yang diperlukan agar dapat memenangi pilihan raya akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Faizal mengajak seluruh pimpinan, sayap dan akar umbi PN untuk memastikan bahawa apa yang diraih daripada konvensyen ini menjadi penyuntik dan pemangkin semangat untuk dibawa pulang.

Katanya, seterusnya memastikan PN meraih kemenangan pada PRU-15 nanti.