SERDANG, 27 Ogos – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan konvensyen hari ini mestilah membincangkan tawaran yang akan ditawarkan kepada rakyat.

Beliau berkata ini berdasarkan dua prinsip utama perjuangan PN iaitu Prihatin Rakyat’ dan ‘Integriti’.

“Inilah dua prinsip yang mungkin agak sukar untuk kita temui dalam dunia politik yang penuh pancaroba pada hari ini.

“Berdasarkan dua prinsip ini, kita berada di dalam Perikatan Nasional bukan untuk kepentingan politik peribadi, tetapi untuk membela kebajikan rakyat dan memajukan negara menerusi kepimpinan dan pentadbiran yang beramanah dan berintegriti.

“Kita mesti meletakkan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi. We in PN must put the people and the country first before self,” katanya ketika berucap di Konvensyen PN di sini, hari ini.

Turut hadir dalam Konvensyen PN adalah, Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Yong Teck Lee, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata PN perlu mencari jalan penyelesaian untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat supaya di dalam gabungan ini benar-benar menjadi jurubicara rakyat yang prihatin akan permasalahan dan keperluan mereka.

“Cuba kita secara ikhlas bertanya kepada diri kita sendiri, adakah ini dua prinsip yang menjadi sebab keberadaan kita di dalam wadah PN ini.

‘Kalau jawapannya ya, Alhamdulillah, kita berada di landasan yang betul, di jalan yang lurus – al-siratal mustaqim. Kalau jawapannya tidak, eloklah kita bermuhasabah sehinggalah ditemui jalan yang lurus itu,” katanya.

Tambahnya, sebab itu Konvensyen PN pada hari ini, jangan berbincang soal diri sendiri, puak sendiri atau kabilah sendiri.

“Jangan kita bicara apa aku dapat, apa puak aku dapat, apa kabilah aku dapat. Tetapi marilah kita bersama-sama memikirkan apa tawaran kita kepada rakyat.

“Fikir permasalahan rakyat. Suarakan rasa hati rakyat,” kayanya.

Beliau juga mengajak semua parti-parti dalam PN berbincang, bermusyawarah, bertukar pandangan, bagaimana untuk menjadikan prinsip integriti sebagai landasan utama yang memandu perjalanan parti serta pengurusan dan pentadbiran negara.

Katanya, ini kerana di dalam PN ini mewakili suara dan rintihan puluhan jutaan rakyat di luar sana yang sudah muak, sudah jelik dan benci dengan amalan rasuah serta penyelewengan.

“Mereka juga benci dengan salah guna kuasa yang meninggalkan banyak titik hitam dalam sejarah negara kita, yang bukan sahaja merobek kantung negara malah mencalar imej watan kita di mata dunia.

“Kerana itu, kedua-dua prinsip ini menjadi asas pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional. Ketika Perikatan Nasional mula mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada bulan Mac 2020.

“Saya faham dua masalah utama yang dihadapi oleh rakyat pada waktu itu ialah Covid-19 dan ekonomi. Bagaimana rakyat nak selamatkan nyawa mereka dan keluarga mereka daripada ancaman Covid-19 dan menampung pendapatan yang terjejas akibat pandemik,” katanya.

Kerajaan PN dibentuk pada 1 Mac 2020 dengan didokong oleh Ahli-Ahli Parlimen dari pelbagai parti politik iaitu BERSATU, PAS, BN, GPS, PBS dan STAR Sabah.

PN sebagai sebuah parti politik tidak tertubuh sehinggalah BERSATU, PAS dan STAR Sabah bersetuju untuk menjadi anggota pengasas parti PN yang didaftarkan secara rasmi pada 7 Ogos 2020.

Parti SAPP dan GERAKAN kemudiannya memohon untuk menjadi parti anggota PN dan telah diterima kemasukannya oleh Majlis Tertinggi PN masing-masing pada 19 Ogos 2020 dan 11 Februari 2021.