SERDANG, 27 Ogos – Seorang perwakilan Perikatan Nasional (PN) Terengganu mencadangkan PN di negeri itu menggunakan lambang PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengarah Pilihan Raya PN Terengganu yang juga Ahli Dewan Negeri (ADUN) Alur Limbat daripada PAS, Ariffin Deraman, berkata ia berikutan senario politik di Pantai Timur berbeza berbanding peringkat Persekutuan.

Bagi membolehkan pimpinan PN membuat keputusan berhubung cadangan itu, beliau menyarankan satu kaji selidik dijalankan untuk menilai sama ada lambang PAS atau PN yang boleh menjamin kemenangan besar di Terengganu dalam PRU-15.

“Oleh kerana ada sedikit perbezaan antara politik nasional dan Pantai Timur, saya mencadangkan di Terengganu digunakan lambang PAS dalam PRU akan datang.

“Bukan pimpinan kami tak terima lambang PN, tapi kami memohon dibuat satu kajian di Kelantan dan Terengganu mengenai penerimaan masyarakat, lambang mana yang terbaik.

“Kita boleh terima kalau keputusan kajian ini menunjukkan bawah lambang PN boleh memastikan kemenangan besar (di Terengganu) dalam PRU akan datang,” katanya berucap pada Konvensyen PN 2022 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu itu berkata, cadangan penggunaan logo PAS itu wajar dipertimbang kerana parti itu adalah satu-satunya yang mampu bersaing dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Pantai Timur.

“Sejak dulu, secara tradisinya yang mampu berdepan UMNO dan BN di Kelantan dan Terengganu adalah PAS, sama ada secara bersendirian atau dengan parti lain sebagai rakan sekutu.

“Pada 1969, PAS bekerjasama dengan Parti Negara dan berjaya membentuk kerajaan negeri manakala pada 1999, PAS bekerjasama dengan PKR menggunakan logo PAS, sekali lagi membentuk kerajaan negeri.

“Dalam PRU-14 pada 2018, PAS bersendirian di Terengganu menentang UMNO/BN serta Pakatan Harapan (PH), dan sekali lagi PAS berjaya membentuk kerajaan negeri,” katanya.