SERDANG, 27 Ogos – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini dipenuhi kecelaruan dan kegopohan, selain menyifatkannya sebagai ‘kerajaan mi segera’.

“PH kerajaan yang gopoh dan ‘kerajaan mi segera’. Masaknya segera, banyak hal-hal mentah, hingga ia terpaksa dijatuhkan. Ketika PH mengambil alih kerajaan, mereka bercelaru.

“Sudahlah kerajaan mi segera, tidak masak, berlaku pula krisis berebut nak jadi Perdana Menteri, menyebabkan alpa masalah yang patut diutamakan,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Berucap pada Konvensyen PN 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini, Abdul Hadi mengulangi pendiriannya bahawa kerajaan PN sebelum ini ditubuhkan secara demokratik pada Mac 2020, bukan menerusi ‘pintu belakang’.

Katanya, Ahli Parlimen BERSATU yang sebelum itu keluar daripada UMNO dan PH, bersama parti lain seperti PAS serta parti dari Sabah, Sarawak dan UMNO, membuat perubahan kerajaan secara demokratik.

“Ini bukan pintu belakang, tetapi demokratik melalui (kaedah) mengumpul jumlah Ahli Parlimen yang mencukupi. Ini demokrasi,” katanya.

Abdul Hadi berkata, PN berjaya mengambil alih pentadbiran kerajaan daripada PH dalam keadaan teratur tanpa pertumpahan darah, demonstrasi atau pergaduhan antara rakyat dengan pihak berkuasa.

Malah, katanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi PN merangkap Presiden BERSATU sanggup melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri selepas itu demi memastikan perpaduan dan kelangsungan pentadbiran PN sehingga kini.

Beliau turut mengangkat kejayaan PN menyelesaikan masalah ketirisan, salah guna kuasa dan salah laku serta isu bantuan yang tidak sampai ke sasaran dalam tempoh masa singkat, meskipun ia ditubuhkan tanpa memiliki manifesto atau janji.

“Dalam keadaan gangguan yang banyak daripada luar dan dalam, bahtera PN dapat diteruskan sampai hari ini,” katanya.

Presiden PAS itu juga mahu semua parti komponen PN berpadu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan menolak ‘peristiwa lama’ serta ‘mereka yang terbabit dengan peristiwa lama’.

Tegas Timbalan Pengerusi PN itu, ia penting untuk memastikan gabungan BERSATU, PAS, GERAKAN, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) itu dapat membentuk kerajaan yang kukuh

Beliau tidak memperincikan ‘peristiwa lama’ dan ‘mereka yang terbabit dengan peristiwa lama’, namun ia dipercayai merujuk tindakan sekumpulan Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga hilang jawatan Perdana Menteri.

“Sekurang-kurangnya kita dapat membuktikan integriti kita melalui menteri dalam Kabinet serta kerajaan negeri yang kita perintah dalam masa singkat. Mudah-mudahan rakyat dapat melihat,” kata Abdul Hadi.

Sehubungan itu, Abdul Hadi mengajak rakyat memilih PN pada PRU-15 kerana gabungan berkenaan terbukti berjaya menyelesaikan isu pandemik, ekonomi dan rasuah.