SERDANG, 27 Ogos – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri akan membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada 7 Oktober depan.

Langkah itu berbeza berbanding kebiasaan, di mana belanjawan negara sebelum ini dibentangkan individu yang memegang jawatan Menteri Kewangan.

Muhyiddin berkata, perkembangan itu dimaklumkan kepadanya oleh anggota Kabinet daripada PN, yang menjadi petanda bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) amat hampir dan Parlimen mungkin dibubarkan tahun ini.

“Saya dimaklumkan oleh rakan kita dalam Kabinet bahawa Perdana Menteri nak bentangkan belanjawan. Biasanya belanjawan dibentang oleh Menteri Kewangan.

“Ia biasanya dibentangkan hujung Oktober, namun sekarang diawalkan ke 7 Oktober. Cuba tanya kenapa nak buat begitu.

“Saya yang tak berapa cerdik ini fikir, kemungkinan besar selepas belanjawan dibentang pada 7 Oktober, tak ada perbahasan belanjawan kerana esoknya Parlimen akan dibubarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Konvensyen PN 2022 di sini, hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, mengesahkan Bajet 2023 akan dibentang pada 7 Oktober depan, berbanding jadual asal pada 28 Oktober.

Katanya, sesi sidang Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 (2022) juga diawalkan pada 3 Oktober hingga 29 November 2022 bagi Dewan Rakyat (32 hari) dan 21 November hingga 7 Disember 2022 (11 hari) bagi Dewan Negara, dipercepatkan 23 hari daripada takwim asal.