SERDANG, 27 Ogos – Perikatan Nasional (PN) akan menentang siapa sahaja yang melawan gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Perkara itu ditegaskan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menjawab cadangan Pemuda PN yang sebelum itu mencadangkan agar memikirkan cara satu lawan satu dalam pilihan raya akan datang.

“Satu lawan satu, satu lawan dua, satu lawan tiga atau empat yang penting PN akan menentang siapa sahaja yang melawan kita.

“Pastikan rakyat sokong kita dan kita menang membentuk kerajaan di PRU15 akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ucapan penggulungan Konvensyen PN 2022 dan sambutan Ulang Tahun PN Kedua di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada Sabtu.

Pemuda PN pada awalnya mengesyorkan supaya pimpinan gabungan parti itu mempertimbang untuk mengadakan rundingan dengan PH atau BN dalam menghadapi PRU15 bagi mengelak berlakunya pertembungan tiga penjuru.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ramuan paling baik untuk memastikan hasrat PN untuk kembali mentadbir Putrajaya adalah dengan cara satu lawan satu dalam pilihan raya akan datang.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada masa sama turut mempersoalkan siapakah pihak satu lawan satu yang dibangkitkan oleh Ahmad Fadhli itu.

“Soal yang berbangkit siapa yang satu lawan satu itu. Kerana di hadapan kita bukan satu, bukan dua, ada tiga, empat, lima termasuk Bebas,” ujar beliau.

Tegas Muhyiddin, pihaknya juga tidak mahu BN memenangi PRU15 nanti.

“Dan kleptokrasi jangan kembali semula mentadbir dan mengurus negara kerana pengalaman yang kita lihat pada masa lalu ia amat merosakkan,” jelas Muhyiddin.