SERDANG, 27 Ogos – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya melaksanakan ‘track record’ cemerlang sepanjang 17 bulan memerintah negara.

Naib Presiden BERSATU, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, ia dibuktikan dengan pelbagai kejayaan telah dilaksanakan membabitkan kepentingan rakyat khususnya membabitkan pakej bantuan, selain nilai integriti yang tinggi.

“Kalau kita lihat, dalam banyak-banyak parti gabungan di Malaysia ini, PN mempunyai ‘track record’ sangat cemerlang yang ditinggalkan kepada rakyat.

“Sebagai contoh bagi rakyat Sabah dan Sarawak, semasa PN memerintah kita dapat lihat bagaimana manfaat sampai begitu cepat kepada rakyat di sana.

“Pada waktu Sabah dan Sarawak dianggap sebagai ‘fix deposit’ oleh pihak lain, PN pula bawa kedua-dua negeri itu sebagai sahabat,” katanya dalam sesi perbahasan sempena Konvensyen PN 2022 dan sambutan Ulang Tahun PN Kedua di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada Sabtu.

Dalam pada itu, Mohd Radzi yang juga Menteri Kanan Pendidikan menambah, kemungkinan lebih banyak impak positif dan pencapaian cemerlang dapat dihasilkan gabungan parti itu sekiranya PN memerintah lebih lama.

“Ini impak baharu setahun lima bukan Tan Sri Muhyiddin jadi Perdana Menteri kerajaan PN, cuba bagi satu penggal penggal penuh, Insya-ALLAH lebih banyak impak dapat dilihat dan kehidupan rakyat juga jauh lebih baik,”jelas beliau.

Pada 16 Ogos tahun lalu, Muhyiddin membuat keputusan untuk meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan selepas hilang majoriti sokongan ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.