SERDANG, 27 Ogos – Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyanjung tinggi jasa dan pengorbanan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang amat komited untuk memastikan amalan rasuah dan salah guna kuasa ditentang habis-habisan.

Beliau yakin, tidak ramai yang sanggup untuk berjuang seperti yang dilakukan Muhyiddin sehingga kehilangan pangkat dan jawatan demi menegakkan keadilan.

“Terima kasih Tan Sri (Muhyiddin), pengorbanan yang dilakukan akan senantiasa menjadi pedoman buat kami semua dalam menentang kemungkaran dan kebatilan.

“Pantang kami melihat negara ini dirobek dan dikotori oleh tangan-tangan perosak yang sekaligus merendahkan kedaulatan Malaysia di mata dunia,” katanya ketika berucap pergulungan di Konvensyen PN 2022 di sini hari ini.

Tambahnya, pentadbiran PM bukan berjuang untuk kepentingan politik tetapi untuk membela kebajikan rakyat dan memajukan negara menerusi kepimpinan yang beramanah, cekap dan berintegriti.

“Tan Sri Pengerusi telah sebutkan pagi tadi, betapa golongan B40 telah membesar kepada 61 peratus, T20 telah menyusut kepada 18 peratus, M40 telah menurun kepada 14 peratus. Ini adalah perkara yang perlu kita tangani secara serius.

“Kepimpinan PN datang dengan tanggungjawab yang cukup besar, apa lagi setelah negara ini telah dirosakkan dan memerlukan masa yang panjang untuk diperbetulkan,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata jelas daripada ucapan dan perbahasan oleh Muhyiddin, Timbalan-timbalan Pengerusi dan para pembahas, bahawa PN semua bersetuju kita mesti menolak kemungkaran, salah guna kuasa dan penyelewengan.

“Saya percaya kita semua benci rasuah! Kita memusuhi pemimpin pecah amanah? Kita tidak sanggup membiarkan rakyat semakin hari semakin ramai yang miskin daripada yang kaya.

“Kita mahu anak-anak kita mendapat peluang pendidikan yang baik untuk masa depan mereka. Kita mahu orang tua kita mendapat perkhidmatan kesihatan yang baik di hospital dan tidak membiarkan negara gagal menyediakan peruntukan yang secukupnya akibat ketirisan dan korupsi,” katanya.

Beliau berkata rakyat juga bencikan rasuah dan mahukan kemakmuran.

“Rakyat juga memusuhi pemimpin yang tidak bertanggungjawab.

“Rakyat senada dan seirama dengan perjuangan PN,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, rakyat juga mahu melihat PN bersatu hati.

Beliau berkata rakyat bersetuju dengan perjuangan kita dan mereka mahu melihat kita elok pakat.

“Maka, ayuh kita semua bersatu hati. Kita mesti meletakkan kepentingan negara dan parti mengatasi kepentingan peribadi.

“Kita mesti sucikan hati dan ikhlas dalam perjuangan ini,” katanya.

Sementara itu, Faizal berkata jika kepimpinan meletakkan calon daripada satu-satu parti, parti komponen yang lain wajib memberi sokongan penuh.

Katanya, ini kerana yang bertanding mewakili kita pada pilihan raya umum ke-15 nanti bukannya BERSATU, bukannya PAS, bukannya Gerakan, bukannya SAPP, bukannya STAR SABAH tetapi Perikatan Nasional.

“Terima kasih kepada Yang Berhomat Tan Sri Pengerusi yang telah memberi penghargaan kepada pencapaian menteri-menteri Perikatan Nasional.

“Kementerian Belia dan Sukan akan terus berusaha dalam membina masa depan belia negara dengan Model Baharu Pembangunan Belia.

“Daripada kepimpinan Tan Sri sendiri selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, ianya telah banyak memberi peluang ekonomi dan pendidikan kepada anak-anak muda,” katanya.