SERDANG, 27 Ogos – Perjuangan menentang rasuah dan salah guna kuasa menjadi fokus utama bagi Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata ia akan terus menjadi agenda penting dalam memastikan Malaysia terus bebas daripada amalan rasuah serta salah guna kuasa.

“Selagi PN diberikan mandat dan kepercayaan oleh rakyat, maka kita akan memastikan pentadbiran negara ini terus kekal terhindar daripada unsur-unsur yang merosakkan negara.

“Ini adalah selari dengan apa yang diperkatakan oleh Tan Sri Pengerusi (Tan Sri Muhyiddin Yassin) tentang dua prinsip perjuangan PM iaitu prihatin rakyat dan integriti,” katanya ketika berucap pergulungan Konvensyen PN 2022 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Faizal berkata perkembangan mutakhir perjalanan badan kehakiman di Malaysia telah mendapat reaksi positif dari seluruh dunia.

Katanya, negara diperhatikan.

“Syabas dan tahniah kepada para hakim yang bijaksana serta telah melaksanakan tanggungjawab dengan begitu baik.

“Kita meraikan badan kehakiman yang bebas. Pada masa yang sama, kita patut berasa malu apabila ada pemimpin negara ini yang dijatuhi hukuman bersalah kerana terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa.

“Negara pula terus terbeban dengan kerugian dan hutang berpanjangan,” katanya.