SERDANG, 27 Ogos – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengingatkan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) tidak mengulangi kesilapan Pakatan Harapan (PH) selama berkuasa 22 bulan.

Antaranya, ujar beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN adalah suka berbohong kepada rakyat dengan membuat pelbagai janji manis seperti ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Tolak budaya menipu rakyat, kerana rakyat tidak boleh ditipu selama-lamanya dan akhirnya sedar mereka ditipu,” katanya ketika berucap menggulung Konvensyen PN 2022, di sini hari ini.

Bagaimanapun tidak pula dipastikan sama ada sindiran beliau itu turut ditujukan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang merupakan antara komponen PH ketika berkuasa.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi dalam nada sinis memberi amaran bahawa sekiranya PN berjaya menang PRU15 kelak dengan cara menipu, kerajaan dibina mereka tidak akan bertahan.

“Kerajaan yang ditubuhkan hasil menipu rakyat itu tidak akan kekal, padahal kita hendak mempertahankan kemenangan sehingga habis tempoh penggal pemerintahan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata bahawa rakyat mungkin boleh tersilap kerana diperbodohkan tetapi kerajaan yang cuba memperbodohkan rakyat sama seperti lagak sifat seorang penipu.

Pada masa sama, beliau memberi amaran agar PN mengamalkan gaya politik yang bijak untuk menyelamatkan rakyat dan bukannya bagi memperhambakan rakyat pula sebagai mangsa.