SERDANG, 27 Ogos – Sebuah pusat sehenti atau one stop centre perlu diwujudkan bagi mengumpul data mengenai individu dan isi rumah yang memerlukan bantuan.

Selain itu, agensi ini adalah untuk menyelaras segala bentuk bantuan yang hendak disalurkan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, agensi ini boleh mengambil model Centrelink yang dilaksanakan di Australia dalam mengurus penyaluran bantuan kepada penerima yang layak.

“Sistem semakan kelayakan penerima bantuan dan penyaluran bantuan yang cekap, cepat dan seragam boleh diwujudkan untuk memastikan tiada pertindihan penerima bantuan dan tiada seorang pun yang layak menerima bantuan tercicir daripada menerimanya.

“Dengan cara ini sumber kewangan kerajaan dapat dioptimumkan di samping memastikan tiada seorang yang tercicir,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Konvensyen PN 2022 dan sambutan Ulang Tahun PN Kedua di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada Sabtu.

Muhyiddin dalam masa sama turut menjangkakan tekanan ke atas kehidupan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah akan menjadi lebih meruncing.

Menurutnya, ini disebabkan pertumbuhan ekonomi dunia yang dijangka berkembang lebih perlahan pada tahun hadapan.

“Selaras dengan prinsip prihatin rakyat, PN menggesa kerajaan supaya mengambil langkah segera untuk menangani masalah ini.

“Tumpuan mesti diberikan kepada penyediaan pakej bantuan yang komprehensif dan bersasar kepada golongan yang memerlukan dan merangka tindakan yang lebih komprehensif untuk meningkatkan pendapatan rakyat dengan menstruktur semula ekonomi negara,” tegasnya.

Beliau yang merupakan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara juga menyatakan bahawa kerajaan membelanjakan lebih RM 70 bilion setahun dalam bentuk subsidi.

Menurutnya, jumlah ini semakin meningkat saban tahun dan tidak mapan untuk jangka masa yang panjang.

Disebabkan itu, Ahli Parlimen Pagoh ini mencadangkan agar kerajaan mewujudkan penyaluran subsidi lebih bersasar bagi dinikmati oleh golongan memerlukan, tiada ketirisan dan tiada seorang yang ketinggalan.