SERDANG, 27 Ogos – Barisan Nasional (BN) mahukan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera menunjukkan gabungan itu menyedari mereka semakin lemah.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau merujuk kepada kenyataan bertalu-talu dibuat Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mahukan PRU diadakan secepat mungkin.

“Saya baca kenyataan presiden UMNO merangkap pengerusi Barisan Nasional. Dia kata pilihan raya mesti diadakan pada tahun ini bukan tahun depan. Kalau tunggu tahun depan, Barisan Nasional mungkin akan kalah. Saya seronok baca kenyataan ini. Maknanya, mereka tu taklah kuat sangat.

“Kita juga dapat laporan bahawa kepercayaan rakyat terhadap BN makin merosot. Apatah lagi tujuan desakan supaya pilihanraya diadakan lebih awal adalah semata-mata untuk mendapatkan kembali kuasa bagi menyelamatkan pihak-pihak tertentu daripada hukuman mahkamah.

“Saya tidak fikir rakyat Malaysia akan membiarkan perkara ini berlaku. Jadi samada pilihanraya tahun ini atau tahun depan, bagi kita sama saja.

“Prinsip kita ialah lawan yang mungkar, pilih integriti dan terus prihatin kepada rakyat kerana itu lah tujuan kita berada di dalam wadah Perikatan Nasional,” katanya ketika berucap di Konvensyen Perikatan Nasional (PN) 2022 di sini, hari ini.

Turut hadir dalam Konvensyen PN adalah, Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Yong Teck Lee, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Muhyiddin berkata, mengikut perjanjian antara PN dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam membentuk kerajaan, sebarang keputusan untuk menentukan tarikh PRU perlu dirunding terlebih dahulu.

Bagaimanapun PN bersedia untuk menghadapi bila-bila masa PRU termasuk jika ia diadakan tahun ini.

“Kalau mengikut perjanjian antara Perikatan Nasional dan Perdana Menteri yang saya dan Perdana Menteri tandatangan, bila Perdana Menteri nak tentukan tarikh pilihanraya, beliau kena runding dengan kita dulu kerana kita juga adalah sebahagian daripada kerajaan. Tak tahu lah saya samada Perdana Menteri masih ingat adanya perjanjian itu.

“Walau apa pun, kita bersedia untuk menghadapi pilihanraya pada bila-bila masa. Kalau ikut adat kebiasaannya pun, kita telah masuk ke tahun terakhir bagi penggal pilihanraya ini.

“Jadi kalau esok Perdana Menteri menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong untuk mohon perkenan bagi membubarkan Parlimen, kita anak jantan sedia masuk gelanggang!” katanya.