SEPANG, 28 Ogos – Jenayah seksual yang menjadikan kanak-kanak sebagai sasaran khususnya melalui medium dalam talian perlu dibendung secara serius.

Ini kerana, sepanjang tempoh antara 2017 hingga 2021 lebih 94,000 aduan diterima pihak polis membabitkan kes ganguan seksual kanak-kanak melalui dalam talian.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata jumlah kes dilaporkan itu sangat serius, lantas tanggungjawab menanganinya tidak wajar diletakkan semata-mata pada bahu pihak berkuasa.

Sebaliknya, katanya ibu bapa juga perlu memainkan peranan untuk membantu terutama dalam memberikan memberi pendedahan dan pengetahuan kepada kanak-kanak berkaitan jenayah seksual dan cara selamat untuk melayari media sosial.

Beliau berkata, di peringkat kementerian program Jelajah Kasih Kanak-Kanak Prihatin dianjurkan hasil kerjasama antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Perwakilan Kanak-Kanak (MPKK), dengan sasaran untuk menyampaikan mesej sama.

“Kita tidak mahu kecanggihan teknologi masa kini disalah guna pihak tidak bertanggungjawab sehingga menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa.

“Program julung kali (di Selangor) ini menjadi projek perintis dan sekiranya mendapat sambutan akan diperluaskan ke negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Jelajah Kasih Kanak-Kanak Prihatin Rakyat Sempena Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-Kanak di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Bangkong, Sepang hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Datuk Shaharuddin Abu Sohot.

Seramai 500 peserta menyertai program yang turut diadakan di Kampung Baru Lanjut di Salak Tinggi, dekat sini, membabitkan aktiviti kuiz, seminar motivasi kesedaran jenayah dan ceramah seksual yang diadakan secara interaktif bagi menarik perhatian peserta.

MPKK dianggotai peserta berusia antara 14 hingga 17 tahun yang mewakili suara kanak-kanak di Malaysia dalam melaksanakan program advokasi berkaitan hak golongan itu serta mengesyorkan kepada kerajaan mengenai perkhidmatan diperlukan golongan ini.

Kempen ini turut memperkenalkan ‘kaktus’ sebagai simbol kebersamaan ahli komuniti dan kerajaan dalam menangani isu jenayah berkenaan.

Ia juga memberi peluang kepada masyarakat melalui penyertaan Pasukan Perlindungan Kanak-kanak untuk lebih mengenali dan memahami keperluan kanak-kanak di kawasan masing-masing.