KAJANG, 28 Ogos – Kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman yang mempersoalkan mengapa Perdana Menteri tidak menukar Peguam Negara, menunjukkan parti itu masih belum insaf walaupun selepas dihukum rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Naib Presiden BERSATU Malaysia, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata kenyataan Azalina itu juga menunjukkan UMNO kembali menunjukkan belangnya yang sebenar dan sanggup ‘menggigit’ sesiapa saja demi matlamat mereka.

Tegasnya, pendekatan itu jauh berbeza berbanding ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin mentadbir negara selaku Perdana Menteri bermula Mac 2020, sebelum terpaksa melepaskan jawatan pada Ogos tahun lalu selepas hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen.

“Kalau nak kenal, itulah UMNO. Kita ingatkan UMNO sudah insaf bila kalah PRU-14 dan mendapat peluang (berubah), tapi itulah pendekatan (UMNO).

“Itulah hakikatnya bahawa UMNO nak tunjukkan apabila sudah jadi Perdana Menteri, ambillah kuasa ini dan tokaklah siapa yang nak tokak. Itu pendekatannya.

“Ini cukup berbeza berbanding pentadbiran Tan Sri Muhyiddin di bawah Perikatan Nasional (PN) selama hampir dua tahun,” katanya pada sidang media Hari Terbuka Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di PPD Hulu Langat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Azalina pada Taklimat Khas Presiden UMNO semalam, bahawa Perdana Menteri seharusnya melantik Peguam Negara dalam kalangan ‘orang dia’ untuk memudahkan segala urusan.

“Jika kuasa penukaran Peguam Negara di tangan Perdana Menteri, mengapa Perdana Menteri tidak menukar Peguam Negara, malah ia adalah bidang kuasa Perdana Menteri,” katanya.

Taklimat Khas Presiden UMNO itu antara lain bertujuan menunjukkan solidariti parti kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya atas kesalahan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.

Mengulas lanjut, Radzi menegaskan, ucapan pemimpin UMNO pada Taklimat Khas parti itu semalam juga membuktikan perbezaan pendekatan antara PN dan UMNO, khususnya dalam aspek integriti.

“Di Konvensyen PN, kami bercakap mengenai integriti dan kesejahteraan rakyat tapi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), mereka cakap mengapa Perdana Menteri tak tukar Peguam Negara.

“Mereka merendahkan keputusan mahkamah. Itu yang membezakan keutamaan kita, antara PN dan Barisan Nasional (BN), sebab itu Muhyiddin sebut semalam bawa beza PN dan BN bagai langit dan bumi,” katanya.