KAJANG, 28 Ogos – Gesaan supaya pembangkang kembali membuka pintu rundingan dengan Perikatan Nasional(PN) adalah rasional jika mahu memastikan Barisan Nasional (BN) tidak kembali memerintah selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Naib Presiden BERSATU Malaysia Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berpandangan semua parti yang memusuhi BN wajar mempertimbangkan pelbagai strategi, khususnya bagi memastikan pendekatan satu lawan satu boleh dilaksanakan, sekali gus meningkatkan peluang menumpaskan BN.

“Mesej (Pengerusi PN dan Presiden BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam jelas, bahawa politik ini dinamik dan apa juga boleh berlaku dalam politik.

“Dalam konteks ini, apa yang penting ialah untuk kita lihat, BN tidak kembali memerintah selepas PRU-15,” katanya pada sidang media Hari Terbuka Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di PPD Hulu Langat, di sini, hari ini.

Semalam, Muhyiddin pada sidang media selepas Konvensyen PN 2022, berkata semua pimpinan parti pembangkang perlu mempertimbang membuka semula pintu rundingan dengan PN, jika masing-masing sepakat bahawa BN adalah musuh utama pada PRU-15.

Beliau menyarankan langkah itu bagi mengelakkan BN kembali berkuasa dan mengulangi amalan salah guna kuasa serta rasuah dalam pentadbiran negara.

Muhyiddin berkata, rundingan berkenaan pernah dijalankan sebelum ini, khususnya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, namun tiada keputusan muktamad dibuat ketika itu.

Mengulas lanjut, Radzi menegaskan, jika semua parti gagal mencapai kata sepakat, PN bersedia untuk turun ke gelanggang PRU-15 dalam pertembungan tiga penjuru menentang BN dan Pakatan Harapan (PH).

“Jika tiga penjuru pun, kami di PN bersedia pada bila-bila masa. Tentunya yang kita nak lihat, pihak yang membentuk kerajaan selepas PRU-15 adalah PN,” katanya.

Ditanya sama ada potensi strategi satu lawan satu realistik untuk dilaksanakan, Radzi berpandangan senario politik di Malaysia ketika ini adalah dinamik.

“Dalam politik, ia dinamik tapi yang paling penting, kita yakin jika tiga penjuru sekali pun, kita lihat sokongan dan dokongan rakyat kepada PN.

“Kita yakin boleh usahakan yang terbaik dalam konteks itu dan kita sedia untuk berperang tiga penjuru,” katanya.