KOTA BHARU, 28 Ogos – Projek rintis Program Basmi Miskin Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) fasa pertama berdepan beberapa cabaran yang perlu ditangani dengan sebaiknya bagi memastikan pelaksanaan fasa berikutnya dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, antara cabaran yang telah dikenal pasti termasuk kesesuaian program untuk dilakukan oleh kumpulan sasar iaitu golongan miskin tegar bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

“Selain itu, status ketua isi rumah (KIR) miskin tegar yang dinamik, model pelaksanaan projek yang kurang mampan, kekurangan kefahaman pihak yang terlibat termasuk KIR serta penyertaan rakan strategik yang masih rendah juga menjadi antara isu yang berlaku menerusi pelaksanaan projek rintis ini.

“Bagaimanapun, sebahagian besar isu dan cabaran yang telah dikenal pasti menerusi pelaksanaan program ini ada yang telah diselesaikan dan sebahagian lagi Insya-Allah akan diselesaikan dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata pelaksanaan projek rintis BMTKM bagi fasa pertama telah melibatkan 80 lokaliti rintis di seluruh negara dengan membabitkan kira-kira 2,500 KIR bermula Jun lepas.

Menurutnya fasa kedua pula dijangka bermula pada pertengahan Sept depan membabitkan 100 lokaliti dengan penglibatan seramai 5,000 KIR miskin tegar di seluruh negara sebelum fasa ketiga dijangka diteruskan pada Disember ini.

“Berdasarkan Bank Data Kemiskinan Nasional (eKasih) sehingga 15 Ogos lalu, Kelantan telah merekodkan kadar kemiskinan tegar ketiga tertinggi di Malaysia iaitu seramai 15,455 KIR daripada sejumlah 134,853 KIR di seluruh negara.

“Sehingga kini, sebanyak 47 projek dengan tujuan peningkatan pendapatan melibatkan 249 KIR miskin tegar dengan kos berjumlah RM2,579,465 telah diperaku untuk pelaksanaan di Kelantan,” katanya.

Beliau turut berharap agar matlamat untuk mencapai kemiskinan tegar sifar menjelang akhir tahun 2025 seperti yang telah ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) menerusi program ini dapat dilaksanakan.