KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Dengan cabaran ekonomi, kos hidup rakyat, pekerjaan dan kesejahteraan sepanjang pandemik Covid-19, Perikatan Nasional (PN) telah membuktikan bahawa ia mampu melawan kekuatan pembangkang dengan menjadi parti yang mendokong konsep ‘welfare state’ yang lebih memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Ketua Penerangan PN Wilayah Persekutuan Mahathir Mohd Rais berkata PN memahami realiti kehidupan rakyat dan keperluan jajaran politik baru di samping keperluan anjakan paradigma dari segi pendekatan politik dan cara memperkasakan agama bangsa dan negara.

“Akar umbi harus berusaha untuk menjadi suara rakyat, kita perlu menerapkan serta mengamalkan budaya berfikir secara matang bagi menekankan kepimpinan untuk memastikan setiap tindakan yang mereka lakukan tidak memberi imej dan persepsi negatif yang boleh diklasifikasikan sebagai perbuatan menggadaikan hak jati diri agama dan bangsa.

“PN juga komited didalam usaha menambah baik penyampaian perkhidmatan awam dan swasta agar dapat merealisasikan pelaksanaan dasar-dasar pembangunan negara yang cekap dan berkesan demi kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, Konvensyen PN 2022 yang berlangsung pada Sabtu dengan mengangkat tema suara rakyat bakal menjadi penentu keberkesanan strategi yang sedang dilaksanakan.

Katanya, di tengah-tengah jangkaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), usaha PN mengukuhkan gabungan konvensyen kali ini merupakan usaha penting untuk mengukuhkan barisan di antara parti-parti komponen.

“Di dalam ucapan dasar Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau mahu Perikatan Nasional bergerak seiring kehendak universal dengan menjamin wujudnya keadilan dan ketelusan yang dapat membina keyakinan rakyat iaitu pemimpin yang dipilih mewakili mereka mengutamakan pembangunan yang lestari dengan mengambil kira konsep pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama,” katanya.