KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin rakyat akan memberi sokongan kepada gabungan PN berdasarkan pencapaian semasa memerintah kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata ini berikutan kerajaan PN ketika itu mengamalkan dasar ekonomi prihatin rakyat dan prinsip politik berintegriti bebas rasuah.

“Saya percaya dengan rekod baik sewaktu PN menjadi kerajaan, rakyat akan memberi sokongan kepada kita insya-Allah,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian selepas semalam hadir pada Konvensyen PN yang diadakan serentak dengan sambutan ulang tahun kedua parti ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin merasa gembira melihat sambutan dan kehadiran para pemimpin dan perwakilan pada konvensyen yang julung kali diadakan.

Beliau kagum walaupun baru menginjak usia dua tahun, peranan dan sumbangan PN dalam politik dan pembangunan negara sangat besar terutama ketika berhadapan dengan pandemik COVID-19.

“Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin rakyat, kerajaan PN ketika itu mengambil beberapa tindakan drastik bagi menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat.

“Seluruh rakyat Malaysia pasti akan mengingati apa yang telah kita lakukan ketika itu antaranya menguat kuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian COVID-19.

“Kita juga menyediakan pakej bantuan bernilai lebih RM530 bilion dan memperkenalkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang menyaksikan hampir 100 peratus rakyat dewasa di negara ini sudah menerima suntikan vaksin,” katanya.

Tambahnya, tindakan pantas itu berjaya membawa Malaysia keluar daripada pandemik sekali gus mengembalikan semula kehidupan rakyat seperti hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin berkata zepanjang konvensyen PN, beliau mengikuti perbahasan setiap perwakilan dan merasa kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh mereka terutama apabila menyentuh mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata ketika menyampaikan ucaptama semalam, PN sudah bersedia untuk memasuki gelanggang pilihan raya.

“Justeru kita kena mempersiapkan bala tentera dengan segala kekuatan untuk menentang lawan kita,” katanya.

Muhyiddin juga mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin dan ahli parti komponen PN yang hadir pada hari ini seperti Presiden PAS, YB Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau How Chai, Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee dan Presiden Star Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.

“Tahniah juga kepada Pengerusi Jawatankuasa Induk Konvensyen PN 2022, Datuk Seri Hamzah Zainudin kerana berjaya menganjurkan konvensyen ini dengan jayanya,” katanya.