KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Kepimpinan Wanita Perikatan Nasional (PN) menyerahkan resolusi Wanita kepada Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyatakan komitmen bersedia untuk menggempur dan membawa cabaran dalam berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Wanita PN Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata walaupun dalam masa yang terhad beliau sempat menekankan perlunya 30 peratus wanita diberikan ruang dan peluang untuk bertanding merebut kerusi pada PRU15.

“Amanat daripada Pengerusi PN YB Tan Sri Muhyiddin Yassin meniup semangat yang cukup kuat kepada semua perwakilan untuk cekal mengharungi cabaran PRU ke-15.

“Selaku Ketua Wanita PN, ruang bercakap dalam ucapan penggulungan saya manfaatkan sepenuhnya untuk membawa suara wanita akar umbi hasil pelbagai program turun padang dan persidangan meja bulat Wanita PN berkaitan ekonomi, sosial, pendidikan dan kebajikan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Terdahulu, Rina menyerahkan resolusi Wanita PN pada Muhyiddin di Konvensyen PN 2022 di MAEPS Serdang, pada Sabtu.

“Terima kasih kepada semua pemimpin tertinggi parti PN, para pembahas, perwakilan yang hadir pada hari ini. Terima kasih PAS, Bersatu, Gerakan, STAR dan SAPP.

“Gema PRU sudah kedengaran. Kehangatannya kian terasa. Semoga kerjasama terus utuh untuk mengharungi PRU-15,” katanya.