Tindakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengheret ahli parti itu ke Dewan Merdeka, pada Sabtu lalu, hanyalah untuk agenda peribadi.

Tindakan Zahid itu juga dilihat sama seperti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Anwar heret rakyat ke jalanan manakala Zahid heret ahli UMNO ke Dewan Merdeka.
 
Sejak kebelakangan ini, rakyat Malaysia dihidangkan dengan beberapa siri drama air mata.

Taklimat Zahid pada Sabtu lalu dihadiri semua pimpinan utama UMNO kecuali, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Taklimat Presiden UMNO itu dimulakan dengan penjelasan kes melibatkan Datuk Seri Najib Razak berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dalam kes SRC International oleh peguam bekas perdana menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Hadir sama isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor serta dua anaknya Nooryana Najwa dan Mohd Nizar Mohd Najib.

Apa susah? “Recycle” kan sahaja skrip dan lakonan lapuk cikgunya Anwar Ibrahim, maka drama air mata bergenang di Dataran Merdeka.

Pasti, adalah yang simpati kerana sebagai rakyat Malaysia yang penuh tertib, gerenti drama air mata memberi kesan kepada sebilangan kecil pengikutnya.

Dalam rakyat dihimpit kesusahan, nak makan pun susah, ribuan ahli-ahli UMNO dari seluruh pelusok negara dikerah hadir mendengar taklimat basi Presiden Parti UMNO.

Yang menariknya Poster Najib digunakan sebagai props sedih siri drama!

Nampaknya drama Zahid benar-benar menjadi walaupun intipati ucapannya sama kerana ia digemburkan di waktu yang tepat.

Zahid sekali lagi berjaya mengaburi mata ahli-ahlinya serta mengalih perhatian umum dari isu sebenar.

Yang dicanang kepada akar umbi adalah supaya pilihan raya dipercepatkan.

Umum tahu PRU akan berlaku bila-bila masa. Namun yang benarnya, bukan itu yang ditakutkan oleh Zahid. Apabila Najib sudah ke penjara, Zahid sendiri tak boleh duduk diam.

Tidur tak lena kerana sudah buntu dengan kes mahkamahnya.

Sejak Zahid memegang tampuk Presiden, UMNO seakan sudah hilang taringnya.

Malam ini keputusan begitu, esok pagi keputusan berubah pula.

Sebetulnya UMNO perlu diterajui oleh seorang presiden lebih layak dan bukannya Zahid yang mengaku berguru dengan pemimpin lawan UMNO.

Adakah anda sanggup memperjudikan maruah parti kerana Presiden UMNO yang terpalit dengan rasuah dan salah laku? Tepuk dada tanyalah keinginan rakyat.

Yang bergema Dewan Merdeka dengan ejekan, cemuhan “booo” apabila nama Ismail Sabri dipetik. Wahhhh galak sungguh memalukan seorang Perdana Menteri daripada parti sendiri.

Apa pun, sebagai rakyat Malaysia yang matang, usah kita ikut mundur pemikiran seperti Zahid. Berlapang dada, bekerja untuk rakyat, demi negara Malaysia tercinta.

Penulis adalah Putra Ahmad, seorang penganalisis politik yang pernah berkhidmat di beberapa agensi media tempatan dan kini sedang melanjutkan pengajian sarjana dalam bidang Sains Politik. Ini pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian parti.