KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata hubungan erat antara Malaysia-Indonesia akan terus diperkukuh selain disulami pelbagai kerjasama khasnya pembangunan sukan dan belia.

Beliau berkata rakyat juga bakal menyaksikan kerjasama dalam program latihan atlet selain pertukaran kaedah pembangunan bakat sukan antara dua negara itu.

“Ia termasuk kerjasama program latihan kejurulatihan, penyelidikan, perkongsian sumber dan kepakaran.

“Terima kasih kepada Yang Terhormat Bapak Letjen (Purnawirawan) Edy Rahmayadi, Gubenor Sumatera Utara atas layanan luar biasa buat delegasi,” katanya di Facebooknya selepas membuat kunjungan rasmi ke Indonesia.

Sementara itu, Faizal berkata kerjasama itu juga meliputi penganjuran Sukan Pekan Olahraga Nasional XXI pada 2024.

“Saya ucapkan selamat maju jaya, moga segala perancangan membuahkan hasil yang membanggakan,” katanya.