SEBENARNYA peguam naik pentas politik, bercakap isu-isu mahkamah dan rasa tidak puashati sudah dimulakan sejak 20 tahun yang lalu.

Ketika itu DS Anwar Ibrahim (DSAI) yang memasang ramai peguam, sebahagiannya terjun terus ke dunia politik dan dapat bertanding dalam pilihan raya.

Saya boleh menyenaraikan nama-nama peguam tersebut di sini, tetapi jangan tidak mahu ia nanti menyebabkan ada perkataan yang lebih penting tercicir dek kerana menyenaraikann nama peguam-peguam tersebut.

Pendengar (baca : ahli Umno) yang mendengar peguam bercakap di pentas politik akan “sebak dan menitis airmata” kerana simpati yang amat sangat, kononnya keadilan tidak dilaksanakan sepenuhnya untuk menyelamatkan DS Najib Razak dari dipenjarakan.

Sebenarnya, peguam ini telah gagal di mahkamah. Itu sebab dia ke pentas politik. Kalau dia berjaya di mahkamah, mana mungkin dia sanggup membuang masa berdepan dengan ahli-ahli Umno, yang naif dalam bab undang-undang jenayah.

Najib Razak ke penjara kerana karenah ahli-ahli Umno yang terus menyokongnya dan “yes boss” hingga menerbitkan kata-kata “malu apa bossku”, “bukan bisyer-bisyer”, padahal, ketika Najib Razak dan Rosmah Mansur sedang berada di puncak kuasa, ahli-ahli Umno sepatutnya menjadi “sahabat yang berani berkata benar” dan bukan tukang kipas.

Biarlah seorang dua sahaja yang menjadi tukang kipas dan KCT (baca : Kumpulan Cium Tangan) Najib dan Rosmah, tetapi yang lain-lain, kena menegur dan mengingatkan Najib dan Rosmah, hentikan kepura-puraan dan jangan asyik menafikan.

Kalau ada seseorang dari kalangan ahli Umno yang berani berkata benar, sokong orang itu dan beri dia semangat untuk terus menjadi “berani berkata benar di hadapan pemimpin”.

Ini tidak, jika ada yang menegur pemimpin Umno ketika itu, mereka akan dikenakan pelbagai tindakan. Malahan, bertanya pun hal-hal 1MDB dan SRC tidak dibenarkan.

Bukan orang biasa yang nak bertanya, Ahli-ahli Parlimen pun dilarang sama sekali menimbulkan perkara ini di Parlimen.

Saya masih ingat Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Haji Mulia pernah memberi teguran bahawa tiada sesiapa boleh menyentuh isu SRC dan 1MDB di Parlimen.

Kecuali Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang berani menegur, Ahli-ahli Parlimen yang lain, “kecut telur”.

Padahnya, berlaku 23 Ogos 2022 yang lalu, apabila tiada ahli Umno yang mampu ‘menyelamatkan’ Najib dari melangkah ke penjara.

Padahal, kalau dulu mereka ke depan untuk menegur, mungkin apa yang berlaku sekarang tidak berlaku.

Betul kata Mak Dara dalam Filem Ibu Mertuaku, “menangis konon. Jantan tak guna…”

Kepada kawan-kawan dan kenalan saya yang masih dalam Umno, saya ulangi sekali lagi ingatan yang pernah saya lontarkan dahulu, “cukuplah. Berhijrahlah. Tinggalkan kemungkaran dan jadilah manusia pejuang yang lebih baik.”

Semua ini berlaku kerana tangan-tangan kita yang masih mengundi mereka, mengundi parti mereka.

Najib akan keluar penjara sebaik sahaja habis tempoh hukuman, hutang 1MDB akan dibayar lebih lama dari tempoh pemenjaraan Najib Razak.

Mana ketua-ketua bahagian yang dulu mencadangkan supaya Najib memecat Muhyiddin kerana menegur isu 1MDB? Puashati kalian apabila Najib dipenjarakan kerana “sikap kamu yang kuat mengipas”?

Apakah kalian ingat kuasa yang Allah pinjamkan kekal selama-lamanya? Boleh selesai masalah dengan desakan menukar AG, CJ dan lain-lain? Ancaman dan ugutan terhadap pegawai-pegawai kerajaan ini elok?

Rakyat seronok dengan kerakusan dan kesombongan?

Kepada yang sudah meninggalkan Umno, saya ucapkan syabas. Langkah dan tindakan kalian tepat.

Walaupun mungkin menerima sedikit ujian, ejekan dan sindiran, sebenarnya itulah tanda-tanda kita sudah berjaya menjaga penjarakan sosial, dalam normal baharu pasca pandemic Covid 19.

Penulis adalah Daud Ibrahim, Ketua Penerangan BERSATU Selayang. Ini pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian parti.