Bermula 19 Ogos lalu telah bermula persidangan cawangan-cawangan Bersatu di seluruh negara. Ia akan berterusan 18 September nanti. Bersempena dengan itu Selamat Bersidang saya ucapkan kepada semua dengan harapan semoga persidangan tahun ini, yang saya yakini sebagai persidangan terakhir sebelum menjelangnya PRU-15, akan memperkemaskan lagi hala tuju parti, memperkasakan lagi kedudukannya dan memperluaskan peluang kita untuk mencatat kejayaan cemerlang pada PRU itu nanti.

Manfaatkanlah persidangan ini dengan sebaik-baiknya. Jika ada idea yang berlegar di fikiran, lontarkanlah. Jika ada yang tak kena di hati, luahkan. Jika ada pengalaman yang boleh dikongsi, silakan.

BERSATU mungkin masih muda daripada segi usia. Tetapi sebagai sebuah organisasi politik, ia telah cukup matang. Ia telah melalui jatuh bangun dan pahit manis sehebat parti-parti yang lebih senior. Sepanjang melalui perjalanan itu, BERSATU mengekalkan watak asalnya yang toleran, rasional dan meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan individu. Dalam BERSATU tidak ada tempat bagi mereka yang mendewakan manusia, apatah lagi jika manusia itu besar onarnya. BERSATU tidak mengalu-alukan pemimpin yang menjadikan parti sebagai tembok dan ahli-ahli sebagai perisai bagi melindungi kepentingannya.

Ada banyak isu yang berlegar dalam kehidupan harian kita sekarang ini. Dari isu-isu ekonomi sehinggalah isu integriti. Dari soal peluang pekerjaan sehinggalah kepada soal tidak menghargai kawan dan tidak menepati janji. Angkatlah isu-isu ini ke medan persidangan. Jangan takut-takut. Ahli-ahli BERSATU harus sentiasa berani dan selantang dahulu, ketika kita masih menjadi pembangkang hingusan.

Janganlah hanya disebabkan kita menjadi sebahagian daripada kerajaan maka kita memejamkan mata pada apa yang kita rasa sebagai silap dan salah.

Ingatlah bahawa tidak apa silapnya dengan BERSATU. Apa yang termaktub dalam perlembagaan parti, itulah yang kita dokong dan perjuangkan. Dokongan dan perjuangan itulah yang meletakkan BERSATU pada kedudukan sekarang; sebagai sebuah parti yang menjadi salah satu ‘king maker’ utama dalam mencorakkan politik dan masa depan negara.

Memang benar, ada orang berpandangan BERSATU sekarang tidak sehangat dahulu. Malah tidak sedikit yang beranggapan kita telah hilang hala tuju. Kebanyakan mereka menjadikan keselesaan pada kedudukan dan kuasa yang ada telah menyebabkan BERSATU tumpul taringnya. Kita dikatakan lebih banyak membisu daripada bersuara, walaupun pada tempat-tempat di mana kita sepatutnya menjerit dan bertempik.

Jangan ‘koyak’. Alu-alukan sahaja pandangan sedemikian. Yang penting adalah membuktikan bahawa BERSATU bukan begitu.

Benar juga bahawa negara berada dalam suasana politik yang tidak menentu. Dinamika politik mendepankan kita pada pelbagai perubahan dan pelbagai juga kemungkinan. Tidak ada lagi parti yang dominan. Tidak ada lagi parti yang boleh mendabik dada sebagai yang paling hebat dan paling kuat, dahulu, kini dan selamanya.

Tetapi kita tidak boleh membiarkan BERSATU dihanyutkan oleh ketidaktentuan itu. Hendak berkawan dengan siapa pun, berkawanlah, namun jangan sampai mengambil mudah terhadap prinsip-prinsip asas parti. Sebab itu seperti yang saya tegaskan di atas, jangan teragak-agak untuk bersuara pada tempat yang perlu. Hebat kita jangan sekadar di dalam kelambu.

Kita bukan sahaja tidak boleh hilang satu kerusi pun pada PRU akan datang, tetapi harus menambahnya sebanyak yang mungkin. Dan untuk mencapai matlamat itu caranya bukan sahaja bekerja keras, tetapi juga bekerjasama.

Peranan ini harus dimulakan oleh pembesar-pembesar parti, terutama di peringkat MPT dan perhubungan negeri. Jangan sekali-kali abaikan akar umbi. Kalau tak sempat turun ke bawah pun sekurang-kurangnya rajin bertanya khabar. Tengok-tengok apa yang boleh ditolong dan dibantu. Tak patut berlaku dalam sebuah parti yang berada dalam pasukan pemerintah, ada cawangannya yang tidak boleh mengadakan program dan aktiviti semata-mata kerana kekangan kewangan.

Saya yakin jika kita menggandakan sikap ambil berat dan amalan kerjasama ini, peluang kita untuk melipatgandakan kemenangan pada PRU-15 nanti juga luas terbuka. Dengan beberapa perkembangan yang terjadi kebelakangan ini, peluang ke arah itu semakin cerah. Syaratnya, janganlah kita membuang masa mengulas apa yang terjadi, sebaliknya berilah tumpuan ke arah mengukuhkan parti sendiri.

Sekali lagi, Selamat Bersidang.

Penulis adalah Lt Kolonel Bersekutu (PA) Abd Razak Khamis, Ketua Bahagian BERSATU Pendang. Ini pandangan peribadi dan tidak semestinya mencerminkan pendirian parti.