KUALA TERENGGANU, 30 Ogos – Ketua Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dianggap keliru dalam memahami maksud ‘rayuan’ dengan ‘arahan’ berhubung surat gesaan supaya hakim memberi keutamaan kepada kes mahkamah yang dihadapi Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Penerangan BERSATU Terengganu Badrolhisham Shafie mempersoalkan apabila Peguam Negara merayu (Badan Eksekutif) kepada Hakim (Badan Kehakiman) mengikut kaedah yang betul dianggap satu campurtangan.

Beliau juga mempertikaikan kenyataan ucapan pemimpin UMNO pada Taklimat Khas Presiden UMNO baru-baru ini, yang meminta Perdana Menteri melantik ‘AG orang kita’ untuk memudahkan urusan.

“Ketua Pemuda Umno bercakap soal Pengasingan Kuasa? Bukan ke Jurucakap Umno dalam Taklimat ‘Mahkamah PWTC’ 27hb lalu minta PM pasti ‘AG orang kita’ agar mudah urusan?

“Bukan ke telah berlaku, AG Apandi ‘Sucikan’ segala salah laku seorang Perdana Menteri dalam skandal penyelewengan Dana 1MDB?

“Apakah bila AG merayu (Badan Eksekutif) kepada Hakim (Badan Kehakiman) mengikut kaedah yang betul dianggap campurtangan? Apakah KP Umno keliru dalam memahami maksud RAYUAN dengan ARAHAN?

“Jika peguambela boleh mengunakan pelbagai alasan untuk penangguhan kes, apakah tidak ada kewajaran untuk pendakwaraya memohon dipercepatkan kes?” soalnya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Terdahulu, Pemuda UMNO menuntut jawapan daripada Peguam Negara berhubung surat gesaan supaya hakim memberi keutamaan kepada kes mahkamah yang dihadapi Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, tindakan itu boleh menjejaskan imej Peguam Negara kerana melibatkan kredibiliti dan institusi yang mula dikaitkan dengan percaturan politik sejak Tommy Thomas dilantik sebagai peguam negara semasa pentadbiran singkat Pakatan Harapan.

Mengulas lanjut, Badrolhisham berkata sepatutnya Asyraf membangkitkan mengenai tatacara urusan kerajaan bila mana dokumen dalaman urusan kerajaan ‘bocor’ kepada pengetahuan umum.

“Di mana prinsip intergriti penjawat awam dan sifat ‘berkecuali’ anggota awam sebagai pelaksana dasar kerajaan?” soalnya lagi.