PUTRAJAYA, 30 Ogos – Usaha berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menambah baik dan memperkasa perkhidmatan keguruan dengan cadangan meningkatkan Cuti Rehat Khas (CRK) guru diterima kerajaan melalui pengumuman Perdana Menteri dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18, hari ini.

Menteri Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata pengumuman tambahan kadar CRK sebanyak 5 hari menjadikan jumlah CRK 15 hari setahun berbanding 10 hari sebelum ini kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun adalah sebahagian daripada perancangan transformasi pendidikan yang digerakkan KPM.

“Semoga warga pendidik memanfaatkan kemudahan ini sebaiknya,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Terdahulu, kerajaan memberikan tambahan Kadar Cuti Rehat Khas sebanyak lima hari menjadikan jumlah Cuti Rehat Khas 15 hari setahun kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan yang telah berkhidmat melebihi 10 tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tambahan Cuti Rehat Khas itu akan memberi manfaat kepada lebih kurang 500,000 guru.

“Cuti ini bagi urusan yang mustahak dan kecemasan yang dibenarkan serta memberi peluang guru mengumpul jumlah Gantian Cuti Rehat (GCR) yang lebih tinggi,” katanya.

Perdana Menteri turut mengumumkan perluasan tafsiran ahli keluarga bagi kemudahan Cuti Tanpa Rekod urusan kematian ahli keluarga terdekat.

“Jika sebelum ini cuti tanpa rekod bagi urusan kematian hanya tertakluk kepada kematian suami atau isteri, ibu kandung dan ibu mertua, bapa kandung dan bapa mertua serta anak saja, penambahbaikan tafsiran ahli keluarga diperluas kepada kematian membabitkan adik-beradik, nenek dan datuk bagi anggota perkhidmatan awam,” katanya.