PUTRAJAYA, 30 Ogos – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan kerjasama politik parti pembangkang dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diperlukan bagi menjamin masa depan negara.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata Malaysia tidak seharusnya terjerumus ke tangan pihak yang terpalit dengan isu kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa.

“Saya ada baca Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menolak tawaran (kerjasama) PN, tak apalah kita terima pandangan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN, di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, pemimpin parti-parti politik seharusnya memerlukan keberanian untuk menyatukan rakyat dan menawarkan sesuatu yang lebih baik.

“Saya serahkan kepada pimpinan politik,” katanya.

Tambahnya, rakyat mahu ada usaha menyatukan parti-parti politik.

“Tidak perlu fikir siapa yang akan jadi Perdana Menteri. Kita boleh terus berbincang dan jika akhirnya tidak bersetuju tidak mengapa.

“Nak mencabar Perdana Menteri, Peguam Negara dan tidak bersetuju dengan hakim… Ini apa?” soalnya sinis.

Rafizi pada Ahad dilaporkan berkata, Pakatan Harapan (PH) telah memutuskan pendirian bahawa mereka tidak akan menjalinkan kerjasama dengan PN.

Sabtu lalu, Muhyiddin pada Konvensyen PN berkata, semua pimpinan parti pembangkang perlu mempertimbangkan membuka semula pintu rundingan dengan PN, jika masing-masing sepakat bahawa musuh utama dalam PRU15 adalah BN.