BALING, 30 Ogos – BERSATU Baling membidas tindakan Ahli Parlimen UMNO Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang didakwa mempergunakan penjawat awam untuk menganjurkan program politik di bahagian Parlimen itu.

Ketua Bahagian BERSATU Baling, Mohd Taufik Yaacob berkata sepatutnya program politik tidak boleh dicampur aduk dengan program kerajaan.

“Cara dayus dan pondan sebab turun ke lapangan dengan paksa penjawat awam turun sekali.

“Turun politik Baling dengan cara jantan, bukan untuk guna pengaruhi sendiri. Tidak guna agensi kerajaan untuk kepentingan peribadi,” katanya kepada Penerangan BERSATU hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas poster memaparkan program Sambutan 65 Tahun Kemerdekaan dan Majlis Doa Selamat Bencana Banjir di Stor Logistik Pusat Khidmat Ahli Parlimen Baling, yang dijadualkan pada Khamis ini.

Program ini dijangka dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam pada itu, Taufik berkata beliau tidak ada halangan mana-mana pemimpin dari kerajaan hadir ke Baling.

Katanya, sepatutnya program banjir itu perlu melalui Majlis Daerah Baling, bukan melalui Ahli politik.

“Saya lihat ada sesuatu tak kena dengan protokol dan prosedur program di Baling di mana dipergunakan oleh Ketua UUMNO Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk politikkan lawatan perdana menteri.

“Saya dapat laporan Ketua Umno Baling (Azeez) memaksa guru-guru dan penjawat awam turun ke program itu.

“Walaupun mereka tak nak libat program politik tetapi diugut dan diarah oleh orang tertentu untuk hadir,” katanya.

Tambahnya, lawatan perdana menteri sepatutnya dibuat di dua tempat.

“Sepatutnya, penjawat awam yang hadir tidak perlu rasa terbeban dan ikhlas agar mereka tidak ditunding jari menyokong kerajaan.

“BERSATU dan PN kita tidak akan guna agensi kerajaan untuk kepentingan peribadi,” katanya.