BALING, 30 Ogos – Sekiranya Perikatan Nasional (PN) Kedah diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti, pengurusan banjir yang baik akan menjadi agenda utama bagi rakyat di negeri itu, khususnya di Baling.

Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Kedah, Mohd Taufik Yaacob berkata menjadi pemimpin perlu berfikiran panjang dan tidak hanya mencari ‘glamour’ dan membuat lakonan sahaja ketika banjir.

“Di Baling, saya ingin kurangkan banjir. Kena cari jalan penyelesaian jangka panjang.

“Ini kerana ketika banjir, beri kesan cukup teruk dan memusnahkan harta benda rakyat di Baling,” katanya kepada Penerangan BERSATU hari ini.

Terdahulu, BERSATU Baling membidas tindakan Ahli Parlimen UMNO Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang didakwa mempergunakan penjawat awam untuk menganjurkan program politik di bahagian Parlimen itu.

Poster memaparkan program Sambutan 65 Tahun Kemerdekaan dan Majlis Doa Selamat Bencana Banjir di Stor Logistik Pusat Khidmat Ahli Parlimen Baling, yang dijadualkan pada Khamis ini, dijangka dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam pada itu, Mohd Taufik yang juga Ketua Bahagian BERSATU Baling telah mengenalpasti kawasan penempatan selamat buat penduduk yang terkesan dengan banjir di Baling.

Beliau berkata ramai rakyat di Baling kecewa dengan sikap pemimpin yang tidak memikirkan jangka panjang pengurusan banjir di bahagian itu.

“Jika kami PN dapat kemenangan di Parlimen Baling, pengurusan banjir yang baik untuk jangka masa panjang akan dibuat … dan bukan hari-hari bebankan rakyat,” katanya.