KUALA TERENGGANU, 30 Ogos – Perikatan Nasional (PN) tidak bergantung sepenuhnya pada Pakatan Harapan (PH) untuk menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu, Senator Datuk Razali Idris, berkata kekuatan empat parti dalam gabungan PN membabitkan BERSATU, PAS, Gerakan dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), sudah mencukupi dalam usaha untuk menewaskan BN.

Beliau menjelaskan, saranan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar semua pimpinan parti pembangkang mempertimbang untuk membuka semula pintu rundingan, hanya bertujuan mencari kesepakatan bagi mengelak BN kembali berkuasa serta mengulangi amalan didakwa salah guna kuasa dan rasuah dalam pentadbiran negara.

“Jika cadangan Muhyiddin itu dipersetujui PH, sudah tentu ada syarat lain akan ditetapkan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat BERSATU negeri, di sini, pada Isnin.

Muhyiddin pada sidang media selepas Konvensyen PN 2022 di Serdang, Sabtu lalu, berkata semua pimpinan parti pembangkang perlu mempertimbangkan untuk membuka semula pintu rundingan dengan PN, jika masing-masing sepakat bahawa musuh utama pada PRU-15 ialah BN.

Muhyiddin berkata, pandangan itu dibuat demi memastikan masa depan negara yang lebih selamat, selain mengelakkan negara daripada terus terjerumus dalam kancah kleptokrasi, rasuah serta salah guna kuasa didakwa membabitkan kerajaan BN sebelum ini.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dilaporkan berkata PH kekal dengan pendirian untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan PN bagi menghadapi PRU-15.

Mengulas lanjut, Razali yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, menganggap Rafizi sebagai ‘buta sejarah’ bahawa kerajaan PH yang memenangi PRU-14 dan menerajui kepimpinan negara selama 22 bulan adalah hasil gabungan dengan parti lain, termasuk BERSATU.

“Rafizi bukannya pemimpin sesuai untuk mengeluarkan kenyataan itu… apa jawatan dia dalam PH? Pemimpin paling tepat untuk mengeluarkan kenyataan ialah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Rafizi perlu sedar, PKR dan PH tidak mempunyai kekuatan apabila tiada satu pun kerusi dimenangi parti itu walaupun meletakkan calon di Kelantan dan Terengganu,” katanya.

Berhubung kenyataan Rafizi bahawa parti itu hanya akan memfokus dan mencari pemimpin yang jujur serta cekap untuk mentadbir negara, Razali mencabar bekas Ahli Parlimen Pandan itu supaya mendedahkan siapa pemimpin dalam PH dan PKR yang dimaksudkan itu.