KAJANG, 31 Ogos – “Jika benar BERSATU parti lemah, kenapa BERSATU berada dalam ingatan mereka setiap hari setiap malam?”

Itu reaksi Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan mengenai kritikan UMNO-BN dan PH terhadap BERSATU hampir setiap hari.

Ini kerana, kata Wan Saiful, BERSATU telah membuktikan rekod cemerlang memimpin negara ketika Tan Sri Muhyiddin bersama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) walaupun ditekan kiri dan kanan oleh pihak lawan.

“UMNO dan BN meratib tak habis-habis mengenai BERSATU. PH kalau kritik pun mengenai BERSATU dan dah tak marah pada UMNO dah.

“Nampak seolah-olah perhatian yang diberi kepada kita ini tidak kena dengan retorik yang ditimbulkan terhadap BERSATU. Kenapa yang menghantui pemikiran mereka adalah BERSATU?

“Biasanya bila ingat ini, adalah salah satu antara dua, sama ada rindu dan sayang ataupun takut,” katanya.

Beliau beliau berkata demkian ketika berucap di majlis perasmian Persidangan Tahunan Berkelompok Cawangan-Cawangan BERSATU Bahagian Bangi 2022 di Kajang, pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Penaja Cawangan BERSATU Kajang Bakhtiar Mohd Annuar dan Ketua Penaja BERSATU Cawangan Taman Delima, Kapt (B) Masuan Ali.

Wan Saiful berkata seluruh rakyat Malaysia tahu BERSATU adalah parti pertama menawarkan seorang individu yang ada wibawa untuk jadi Perdana Menteri.

Ini berikutan parti-parti besar seperti UMNO dan DAP mempunyai krisis integriti di kalangan pemimpin yang mempunyai kes di mahkamah.

“Sebut Presiden UMNO, bakal banduan. Bekas Presiden UMNO, dah masuk penjara. Kalau nak kira pemimpin atasan UMNO, pening kepala dengan kes mahkamah.

“Sebut pula pemimpin dari PH, parti paling besar dalam Parlimen adalah DAP. Pemimpin atasan mereka juga ada kes mahkamah. Sebut PKR pula, ada sejarah tersendiri.

“Pada pemikiran BERSATU, sentiasa memikirkan mengenai ekonomi dan rakyat. Kita tak fikir sangat mengenai jawatan dan habuan,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Saiful tidak mahu pemerintahan UMNO-BN kembali menguasai kerajaan.

Jelasnya, beliau khuatir agenda memerangai rasuah dan urus tadbir yang baik akan terhakis dengan cara mengembalikan era penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Inilah bezanya BERSATU dengan UMNO-BN. Adakah kita nak kembalikan era pemerintahan UMNO-BN?

“Kita perlu perkukuhkan parti kita. Gambaran diberi diluar sana adalah BERSATU menumpang parti-parti lain. Mereka tak faham dalam PN, kita menumpang kekuatan Parti A dan Parti A menumpang kekuatan kita. Kalau ada kelemahan, kita perkukuhkan dan perbaiki kelemahan itu. Kita saling bergantung antara satu sama lain. Budaya politik yang kita bawa tidak ada ‘abang besar’ dalam parti dan gabungan.

“Yang menimbulkan ketidakstabilan dalam negara, bukan BERSATU tetapi UMNO. Muhyiddin dijatuhkan dengan sedemikian oleh 15 pengkhianat dari UMNO.

“Sekarang ini pula sama-sama UMNO muka tak malu di mana PM dari UMNO pun nak dijatuhkan oleh UMNO,” katanya.