KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad membuat laporan polis terhadap Rafizi Ramli yang didakwa memfitnahnya dalam isu berkaitan projek kapal tempur pesisir (LCS).

Laporan polis itu dibuat oleh pegawai khasnya, Sayed Ahmad Muizzuddin Al Sayed Mohamad.

Laporan itu dibuat kerana kerana fitnah dan tohmahan oleh Timbalan Presiden PKR bertujuan merosakkan nama baik Abd Latiff.

Rafizi didakwa menyiarkan empat kenyataan dan tohmahan pada 22 Ogos 2022, 25 Ogos 2022, 26 Ogos 2022 dan 29 Ogos 2022 diblognya dan menyiarkan semula di Facebook, Twitter dan Tiktok.

Fitnah Rafizi itu kononnya Abdul Latiff mempunyai isteri kedua bernama Zainab Mohd Salleh yang mendapat kontrak jutaan ringgit dengan Kementerian Pertahanan untuk projek LCS.

Sedangkan, Zainab Mohd Salleh bukan isteri menteri itu dan tiada sebarang hubungan kekeluargaan.

Dalam laporan itu, Sayed menyatakan walaupun Abdul Latiff telah menafikan wanita itu bukan isterinya, Rafizi berterusan membuat fitnah terhadapnya.

Fitnah dan tohmahan itu kerana Rafizi bersandarkan kepada satu laporan forensik sedangkan laporan tersebut tidak dapat disahkan.

Laporan polis itu menyebut Abdul Latiff menjadi Timbalan Menteri Pertahanan dari tahun 2009 hingga 2013 sedangkan tarikh kontrak LCS kepada Boustead Naval Shipyard pada 17 Julai 2014.

Malah, menteri itu tidak memainkan peranan dalam kontrak tersebut serta tidak mendapat kontrak pertahanan atau pembekalan semasa menjadi Timbalan Menteri Pertahanan.

Laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi itu mendakwa Rafizi telah melakukan fitnah di bawah Seksyen 499 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 503 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah kemanan.

Selain itu, Rafizi didakwa menyalahgunakan kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.