KOTA KINABALU, 1 Sept – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor pada Khamis mengarahkan 76 badan berkanun dan syarikat berkepentingan kerajaan (GIC) negeri untuk segera menubuhkan Unit Integriti dan Governans (IGU) dalam tempoh tiga bulan bermula Khamis.

Beliau berkata, arahan itu dikeluarkan berikutan setakat ini hanya sembilan badan berkanun dan GIC negeri telah menubuhkan unit berkenaan di agensi masing-masing, justeru beliau mengingatkan 76 agensi terbabit supaya mengambil serius arahan berkenaan.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, penubuhan IGU penting supaya budaya kerja berintegriti diamalkan dalam perkhidmatan dengan telus, tiada kepentingan, tiada unsur salah guna kuasa dan patuh kepada peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa.

“Tanggungjawab ini perlu digalas sebaiknya oleh 20,920 penjawat awam negeri dan 107,097 (penjawat awam) Persekutuan di Sabah.

“Integriti ini dituntut kira-kira 3.4 juta rakyat Malaysia di Sabah. Ketirisan integriti yang menjejaskan keutuhan perkhidmatan seharusnya tidak berlaku sekiranya semua inisiatif kerajaan dan budaya kerja berintegriti dipatuhi,” katanya menerusi kenyataan sempena Hari Integriti Negeri Sabah Tahun 2022 pada Khamis.

Sembilan badan berkanun dan GIC negeri yang sudah menubuhkan IGU ialah Lembaga Industri Getah Negeri Sabah, Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah (SAFODA), Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah, Perbadanan Pinjaman Sabah, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sabah (SEDCO), Kumpulan Yayasan Sabah, Sabah Urban Development Corporation Sdn Bhd (SUDC), Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah dan Lembaga Pelancongan Sabah.

Sementara itu, Hajiji turut mengarahkan semua 17 jabatan di bawah Jabatan Ketua Menteri Sabah membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) masing-masing dengan tempoh diberikan sehingga bulan Disember depan.

Katanya, 11 kementerian negeri itu telah membangunkan OACP masing-masing, manakala jabatan, pejabat daerah, pihak berkuasa tempatan, dan badan berkanun negeri yang belum membangunkan pelan antirasuah masing-masing diberikan tempoh sehingga Disember tahun depan untuk berbuat demikian.

“Dalam usaha mengekang ketirisan hasil kerajaan negeri, satu pasukan petugas yang terdiri daripada Kementerian Kewangan Sabah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Malaysian Palm Oil Board dibentuk bagi tujuan mengutip semua cukai jualan yang gagal dibayar sebelum ini.

Kerugian yang ditanggung sekiranya berlaku atas sebab ketirisan, salah guna kuasa dan pembaziran, maka ia perlu diberikan perhatian serius oleh semua peringkat kementerian, jabatan dan agensi di negeri Sabah,” katanya.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri sudah memulakan inisiatif menyelesaikan isu-isu dalam Laporan Ketua Audit Negara dan hasil inisiatif ini sebanyak 63 daripada 116 isu teguran audit berjaya diselesaikan sepanjang tempoh Januari 2021 hingga Ogos 2022.