KUALA LUMPUR, 1 Sept – Peruntukan sebanyak RM565.621 juta di bawah Program Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) oleh kerajaan Persekutuan telah hampir selesai diagihkan kepada ketua isi rumah (KIR) setakat minggu lepas, kata Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, menjelaskan program BBKM memberi bantuan menyeluruh termasuk bantuan automotif, Bantuan Wang Ihsan (BWI), Bantuan Barangan Keperluan Asas (BBKA) dan Bantuan Pembaikan Rumah (BPR).

Selain KIR, para usahawan Selangor juga telah menerima bantuan geran.

“BBKM dirangka untuk membantu rakyat dan negeri Selangor yang amat terjejas ekoran bencana banjir besar pada Disember 2021,” katanya menerusi ciapan di laman Twitter beliau pada Khamis selepas mesyuarat MTPNg Bilangan 2 Tahun 2022, yang turut beliau kongsikan bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, serta ahli mesyuarat mengenai program BBKM yang telah diumumkan oleh kerajaan Persekutuan.

Pada mesyuarat itu, Mohamed Azmin berkata, beliau juga berkongsi mengenai platform yang disediakan untuk kerajaan negeri mengemukakan permohonan yang diberikan keutamaan dalam menjana pembangunan dan kemajuan mampan serta merapatkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar sejajar dengan matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Beliau juga telah menyerahkan Watikah Pelantikan Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah oleh Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Selangor kepada sembilan orang pegawai.

“Saya percaya amanah ini akan digalas dengan cemerlang dalam memacu agenda pembangunan daerah supaya pelaksanaan projek pembangunan dan pembasmian kemiskinan dapat dijalankan dengan baik dan holistik.

“Semoga Pejabat Pembangunan Negeri Selangor, kerajaan negeri, pejabat daerah tanah dan pihak berkuasa tempatan terus bersama menggembleng tenaga melaksanakan tugas yang diamanahkan bagi mencapai agenda dan matlamat MTPNg,” katanya dalam ciapan tersebut.