KUALA LUMPUR, 1 Sept – Keputusan Mahkamah Tinggi memerintahkan Datin Seri Rosmah Mansor dipenjara 10 tahun bagi setiap tiga tuduhan rasuah yang berjalan serentak dan denda RM970 juta, memberi mesej jelas supaya individu lain tidak melakukan jenayah.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, berkata pihaknya dan mahkamah juga sudah menjalankan tugas terbaik bagi memenuhi aspirasi rakyat membabitkan kes rasuah Rosmah.

“Korupsi adalah satu perkara yang jahat. Saya berasa orang awam sedar ia adalah jahat dan kami berkhidmat untuk mereka.

“Sistem kehakiman dan pendakwaan menerima bahagian keadilan mereka. Keadilan bukan sahaja untuk tertuduh, tetapi ianya untuk semua,” katanya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah di sini, semalam.

Terdahulu, Hakim, Mohamed Zaini Mazlan, membenarkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda itu ditangguhkan hingga Rosmah mengemukakan rayuan.

Jika beliau gagal membayar denda berkenaan, Rosmah perlu menjalani hukuman penjara tambahan 30 tahun.

Sri Ram berkata, sebagai bekas hakim, beliau mengetahui bahawa hukuman dijatuhkan terhadap Rosmah oleh Mohamed Zaini, bukan satu perkara mudah.

Katanya, hakim itu perlu adil dalam membuat keputusan dan merasakan hukuman penjara 10 tahun itu mencukupi.

“Kita tidak bercadang untuk membuat rayuan terhadap hukuman berkenaan hingga Jabatan Peguam Negara (AGC) berasa sebaliknya. Saya juga ingin memberi penghargaan kepada pasukan pendakwaan dalam kes ini yang menjadi sumber kekuatan saya.

“Tiada Timbalan Pendakwa Raya atau pegawai penyiasat yang mempunyai kepentingan peribadi dalam kes ini. Kami diberi tugas dan kami melakukannya. Sebarang tuduhan dilemparkan kepada Timbalan Pendakwa Raya ada yang tidak adil.

“Penghargaan yang besar untuk pendakwaan kes ini juga harus diberikan kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.