PUTRAJAYA, 1 Sept – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperkenalkan Program Visa Premium (PVIP) Malaysia Residensi Melalui Pelaburan bagi menarik minat hartawan global menetap dan melabur di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata program yang julung kali diperkenalkan itu terbuka kepada semua peringkat usia dan warganegara kecuali dari Israel atau negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia dan ia boleh dipohon bermula 1 Oktober ini.

Katanya, kerajaan menyasarkan seramai 1,000 peserta akan mendaftar dalam tahun pertama ia diperkenalkan, dengan anggaran hasil kepada negara sebanyak RM200 juta dan simpanan tetap sebanyak RM1 bilion.

Beliau berkata, program itu juga diyakini mampu menarik lebih banyak pelaburan langsung asing, yang akan mengukuhkan ekonomi dan meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Selepas sempadan negara dibuka, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen menerima banyak pandangan daripada pelbagai pihak mencadangkan untuk memperkenalkan satu program yang membolehkan keberadaan lebih lama di dalam negara dan peserta diberi peluang untuk belajar, melabur, bekerja dan menjalankan perniagaan dalam sektor yang menyumbang hasil kepada ekonomi negara.

“Berikutan itu, saya kemukakan cadangan berkenaan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Ogos lalu dan jemaah bersetuju dengan mewujudkan satu program baharu yang berkonsepkan Residensi Melalui Pelaburan, dinamakan PVIP Malaysia untuk memacu pertumbuhan ekonomi, menjana hasil pendapatan negara dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media PVIP, di kementeriannya, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata PVIP Malaysia tidak sama dengan Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) kerana ia bersifat persaraan dan syarat menetapkan untuk bekerja atau belajar.

Namun, katanya, peserta MM2H boleh menyertai PVIP Malaysia asalkan mengikut syarat yang ditetapkan, tidak layak untuk memohon menjadi warganegara Malaysia.

Tambahnya, bagi memastikan pelaksanaan PVIP Malaysia berjalan lancar serta tidak mengganggu keselamatan negara, pihaknya menetapkan jumlah siling penyertaan peserta (termasuk tanggungan) hanya satu peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia.

“Kalau warganegara kita kini ada 30 juta, maka hanya satu peratus jumlah peserta dibenarkan. Jumlah yang dihadkan itu adalah untuk kedua-dua program iaitu PVIP Malaysia dan MM2H,” katanya.

Mengenai syarat yang ditetapkan dalam PVIP Malaysia, Hamzah memaklumkan, pihaknya meletakkan syarat yang ketat, termasuk menunjukkan bukti pendapatan sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan atau RM480,000 secara tahunan, memiliki pemilikan akaun simpanan tetap sekurang-kurangnya RM1 juta dan tidak dibenarkan pengeluaran tunai dalam tempoh setahun.

Bagaimanapun, katanya, pengeluaran tunai itu boleh dilakukan bagi pembelian hartanah, rawatan kesihatan atau pendidikan selepas setahun mereka mengikuti program itu dan ia terhad kepada 50 peratus sahaja.

“Mereka dibenarkan membawa tanggungan iaitu pasangan, anak, ibu bapa, mentua serta pembantu rumah dan semua tanggungan itu juga dikenakan fi serta syarat tertentu.

“Fi penyertaan sebanyak RM200,000 dikenakan secara ‘one off’ untuk prinsipal (peserta), manakala RM100,000 untuk setiap tanggungan. Selain itu, fi pas pula dikenakan sebanyak RM2,000 setahun serta perlu mengemukakan Sijil Berkelakuan Baik (LOGC) untuk semua peserta dan tanggungan yang dikeluarkan dan disahkan oleh pihak berkuasa negara asal atau negara bermastautin,” katanya.

Mengenai tempoh keberadaan mereka di negara ini, Hamzah berkata, kelulusan PVIP Malaysia itu maksimum dalam tempoh 20 tahun, namun ia mesti diperbaharui setiap lima tahun.

Pelanjutan pas selepas tamat tempoh kelulusan 20 tahun itu perlu dimohon enam bulan sebelum pas aktif tamat dan separuh fi penyertaan akan dikenakan semula.

“Kita tetapkan 50 peratus fi penyertaan itu kerana jumlah itu tidak tetap, mungkin sekarang kena RM200,000, namun pada masa akan datang harganya mungkin berubah.

“Malah, anak kepada peserta yang melepasi umur 21 tahun perlu memohon untuk menjadi peserta PVIP Malaysia atau memohon kemudahan Imigresen lain jika ingin terus berada di Malaysia,” katanya.

Peserta dan tanggungannya juga perlu menjalani pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan oleh klinik atau hospital yang mendaftar di negara ini serta melepasi tapisan keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).